Bola Sepak Terkini

Piala Presiden 2026 : MISC-Touchtronics FC bangkit ikat AMD

Pravinash terus menjadi watak penting buat MISC-Touchtronics FC

KEKURANGAN seorang pemain bukan halangan buat MISC-Touchtronics FC apabila mempamerkan semangat juang tinggi dengan bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat AMD 1-1 dalam aksi Piala Presiden 2026 di Stadium UiTM Shah Alam.

Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sejak wisel permulaan. AMD terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada masa kecederaan babak pertama menerusi sepakan percuma yang disempurnakan Muhammad Iman Irfan Muhammad Hapis pada minit 45+3, sekali gus memberikan kelebihan 1-0 kepada pelawat ketika rehat.

Memasuki babak kedua, MISC-Touchtronics FC tampil lebih agresif dalam usaha memburu gol penyamaan. Kesungguhan mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-84 apabila Pravinash Ravindran menghasilkan hantaran sepakan percuma yang tepat sebelum disudahkan dengan kemas oleh Muhammad Haziq Mohd Hafiz untuk mengikat kedudukan 1-1.

 

Pravinash terus menjadi watak penting buat MISC-Touchtronics FC apabila bukan sahaja mencetuskan gerakan gol penyamaan, malah mengetuai jentera pasukan dengan aksi bertenaga sepanjang 90 minit sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Namun, kegembiraan tuan rumah sedikit tercalar apabila Wan Muhammad Mikhail Wan Zakaria dilayangkan kad merah pada minit ke-84. Empat minit kemudian, Muhammad Nur Irfan Mosby pula diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-88, memaksa MISC-Touchtronics FC mengharungi baki perlawanan dengan hanya sembilan pemain.

Walaupun beraksi dengan kekurangan dua pemain, MISC-Touchtronics FC mempamerkan disiplin dan semangat juang yang tinggi untuk mengekang setiap asakan AMD sehingga wisel penamat ditiup, sekali gus mengutip satu mata berharga di laman sendiri.


Add Comment

Click here to post a comment