Bola Sepak Terkini

“Saya bukan kritik penjadualan pertandingan” – Nafuzi


KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tampil menjelaskan kenyataan beliau selepas perlawanan Liga Super menentang Star City FC di Kangar pada Sabtu lalu tidak bermaksud mengkritik penjadualan pertandingan yang disediakan oleh Malaysian Football League (MFL).

Menurut Nafuzi, kenyataan beliau mengenai pemain yang keletihan dan jadual yang padat adalah merujuk kepada keadaan yang dihadapi oleh pasukannya susulan perjalanan ke Brunei sebanyak dua kali selepas perlawanan Piala FA menentang DPMM FC terpaksa ditunda akibat keadaan jerebu.

“Apa yang saya maksudkan ialah pasukan saya, bukan penjadualan Liga Malaysia. Pemain memang penat kerana perjalanan, terutama apabila perlawanan Piala FA menentang DPMM FC terpaksa ditunda kerana jerebu dan kami perlu ke Brunei sekali lagi.

“Pada asalnya, kami sepatutnya bermain dua perlawanan di tempat sendiri sebelum ke Perlis, iaitu menentang Penang FC dan DPMM FC bagi perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA.

“Namun apabila perlawanan menentang DPMM FC ditunda, kami terpaksa melakukan perjalanan ke Brunei sekali lagi. Selepas itu, kami perlu meneruskan perjalanan ke Perlis untuk perlawanan Liga Super. Jadi, itulah yang saya maksudkan apabila saya menyebut pemain penat.

“Tapi saya juga faham bahawa perlawanan pusingan 16 Piala FA ini perlu diselesaikan segera kerana suku akhir pertama Piala FA akan berlangsung sebelum rehat Kalendar FIFA, situasi ini berlaku bila perlawanan tertunda akibat jerebu. Apa yang boleh saya lakukan adalah dengan melakukan penggiliran pemain untuk mempersiapkan pasukan,” katanya.

Nafuzi berkata, keletihan yang dialami pemain TFC adalah kesan daripada perjalanan tambahan tersebut dan bukannya disebabkan oleh rasa tidak puas hati terhadap jadual Liga Malaysia.

“Saya faham dalam bola sepak, perjalanan dan jadual yang padat adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap pasukan. Dalam kes kami, keadaan menjadi lebih mencabar kerana perlawanan Piala FA terpaksa ditunda atas faktor jerebu yang sememangnya di luar kawalan mana-mana pihak.

“Apabila perlawanan itu dijadualkan semula, kami perlu melakukan perjalanan ke Brunei sekali lagi dan selepas itu terus membuat persiapan untuk perlawanan di Perlis.

“Jadi, saya ingin jelaskan bahawa saya tidak mengkritik atau mempertikaikan penjadualan yang dikeluarkan oleh MFL kerana kita faham penundaan perlawanan akibat jerebu menyebabkan kami terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang. Saya hanya menjelaskan keadaan fizikal pemain TFC selepas melalui perjalanan tersebut,” katanya.

Nafuzi turut menegaskan bahawa tumpuan TFC ketika ini adalah untuk menguruskan pemulihan pemain sebaik mungkin bagi menghadapi baki saingan musim ini.

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment