Bola Sepak

Lang Merah mampu beri saingan

Baddrol (kanan) bersama pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak meninjau keadaa padang stadium untuk aksi malam esok.

KETUA pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar meramalkan pertembungan aksi CIMB Piala Sumbangsih dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat adalah seimbang buat kedua-dua pasukan.

Walaupun di atas kertas, JDT kelihatan seperti sukar digugat, Baddrol yang pernah memimpin Kedah memenangi Piala Sumbangsih pada 2017 ketika menewaskan lawan yang sama di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, optimis skuad Lang Merah mampu memberi saingan.

Malah kelibat bekas import pemain Kedah, Liridon Krasniqi, yang dijangka membuat kemunculan sulung dengan JDT tidak memberikan apa-apa masalah kepada anak jati Sungai Petani itu kerana dia berasakan tumpuan perlu diberikan kepada semua pemain lawan.

“ Kami ada sembilan puluh minit di atas padang dan apa yang perlu kami lakukan adalah mengikut taktikal yang diarahkan oleh jurulatih serta perlu beraksi sebagai satu pasukan.

“ Sekiranya rezeki berpihak kepada kami, saya harap dapat membawa keputusan positif untuk dibawa pulang ke Kedah.

“ Saya tidak mahu memberikan fokus kepada Liridon sahaja tetapi kepada semua seluruh kesebelasan utama JDT yang bermain pada aksi malam esok.

“ Padang bagi perlawanan esok saya rasa adalah yang terbaik sebab padang di stadium sebelum ini pun sudah cukup baik dan saya rasa kali ini dijangka lebih berkualiti, ” katanya.

Baddrol akan membuat kemunculan kali kelima di CIMB Piala Sumbangsih dengan aksi 2017 menjadi kejayaan tunggal buat dirinya dengan kali terakhir penampilan 2018, Kedah tewas 1-2 kepada JDT.

Rakan sejawatnya dari JDT, Hariss Harun pula berharap langkah kanan buat pasukannya sebagai hadiah terbaik kepada seluruh peminat di gelanggang keramat terbaharu skuad Harimau Selatan.

Tambah pemain yang berasal dari Singapura ini, semua pemain JDT sudah tidak sabar memulakan kempen musim 2020 dengan kejayaan sambil mengakui tiga mata permulaan sebagai sesuatu yang penting dalam mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh.

“ Kami bermain dengan Kedah sebelum ini pada penghujung musim lalu (final Piala Malaysia) tetapi ini perlawanan yang berbeza kerana di musim baharu serta di stadium yang baharu.

“ Kedua-dua pasukan fokus dalam mendapatkan tiga mata selain ada trofi yang mahu direbut dan sudah pasti saya mahu menggembirakan peminat kami dengan cuba mengekalkan sekali lagi Piala Sumbangsih di sini.

“ Kedah sentiasa memberikan kesukaran dalam tiap perlawanan dan pada perlawanan esok, saya rasa tidak ada banyak perbezaan tetapi seperti tiap musim, kami akan cuba pamerkan peningkatan dalam setiap aspek, ” katanya.

Hariss telah menjulang empat kali kejuaraan Piala Sumbangsih bersama JDT sebelum ini iaitu pada musim 2015, 2016, 2018 dan 2019.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: