Bola Sepak

Ifwat akui debaran

Piala Sumbangsih edisi ini paling memberi debaran buat Ifwat.

“Gemuruh lain macam” Itu yang diluahkan oleh penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal menjelang saingan CIMB Piala Sumbangsih 2020 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal membuka tirai di Stadium Sultan Ibrahim selaku gelanggang baharu mereka, Jumaat ini.

Jelas Ifwat, penantian untuk beraksi dalam saingan Piala Sumbangsih kali ini lebih mendebarkan berbanding edisi 2018 yang merupakan penampilan pertamanya selaku penjaga gol utama kerana stadium baharu JDT itu dijangka bakal memberi aura luar biasa khususnya dalam kalangan penyokong tuan rumah.

Justeru, tidak hairanlah penjaga gol berusia 24 tahun ini merasakan perlawanan pada Jumaat ini akan menjadi aksi paling mencuri tumpuan di stadium yang dilabel salah satu yang terbaik di Asia Tenggara dan skuad Lang Merah perlu memastikan mereka cukup bersedia terutamanya dari aspek ketahanan mental.

Ifwat bagaimanapun enggan menjadikan kelebihan yang ada pada JDT itu melemahkan semangat mereka dengan harapan ingin menjulang trofi Piala Sumbangsih selepas kali terakhir dikecewakan oleh lawan sama dua tahun lalu di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin.

“Saya boleh katakan Piala Sumbangsih edisi ini paling memberi debaran dan benar-benar buat saya rasa gemuruh kerana kita sudah boleh ramal aura di stadium baharu JDT itu bukan calang-calang.

“Tapi kalau ikutkan, memang sebelum masuk padang, kita semua akan rasa gementar dan cuak juga dengan suasana di sana pastinya lebih memihak kepada JDT, tetapi saya percaya kami akan lebih tenang bila sudah masuk padang untuk sepak mula.

“Walaubagaimanapun, kami kena buktikan Kedah mampu pamer aksi terbaik untuk memenangi perlawanan itu dan yang penting perlu memberikan tentangan sengit kerana pemain-pemain JDT pastinya lebih bersemangat dengan aura stadium baharu mereka”, jelasnya.

Ifwat kini bersaing dengan Shahril bagi posisi penjaga gawang.

Belum pernah merasa julang trofi Piala Sumbangsih selaku penjaga gol utama, Ifwat merasakan inilah masanya untuk menebus kembali kedukaan pada tahun 2018 apabila tewas 2-1 kepada JDT sewaktu dia diberi kepercayaan galas tugas dalam kesebelasan utama.

Namun, dia perlu bersaing sengit dengan bekas penjaga gawang PKNS FC dan PDRM FA, Shahril Saari untuk merebut tempat pada edisi ini.

“Ini penampilan kedua saya dalam aksi Piala Sumbangsih selepas pada tahun 2018 dan ketika itu kami gagal untuk mempertahankan trofi.

“Walaupun Kedah julang trofi pada tahun 2017, saya tidak beraksi dalam kesebelasan utama dan saya tidak mahu mensia-siakan peluang sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi pada tahun ini.

“Tetapi, sesiapa pun yang dipilih oleh jurulatih (Aidil Sharin Sahak), semua pemain perlu beraksi sebaik mungkin demi pasukan”, katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: