Rita, Nurul Ain dan Nur Akmal jadi pilihan FAM

Scroll down to content

PENGADIL Terbaik Wanita Asia 2014, Pengadil Wanita Berpotensi 2017 dan prestasi konsisten sepanjang bergelar penolong pengadil antara kejayaan gemilang diraih Rita Gani, 43, dan Nurul Ain Izatty Zainal, 22, serta Nur Akmal Anuar, 32 yang dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadili perlawanan-perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2020.

Selain itu , pengalaman mengadili perlawanan di pentas antarabangsa dan mengendalikan perlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun juga memberi kelebihan buat mereka bertiga untuk berada dalam saingan Liga M 2020.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, langkah untuk memperkenalkan pengadil wanita di pentas tertinggi saingan bola sepak negara ini adalah bagi menambah minat golongan wanita menceburi bidang kepengadilan.

“FAM mengumumkan secara rasmi nama tiga pegawai perlawanan wanita yang telah dipilih terdiri daripada dua orang pengadil iaitu Rita Gani, 43, dan Nurul Ain Izatty Zainal, 22, serta seorang penolong pengadil iaitu Nur Akmal Anuar, 32.

“Jumlah pengadil wanita di negara ini masih dalam kelompok yang boleh kita anggap agak kecil. Dengan aksi mereka di pentas Liga Super dan Liga Premier nanti, saya pasti ia akan membuka mata banyak pihak dan pada masa sama menarik minat lebih ramai golongan wanita untuk menjadi pengadil pada masa akan datang.

“Ketiga-tiga mereka ini telah mengadili perlawanan membabitkan pasukan wanita sama ada di pentas antarabangsa bagi Rita dan Nur Akmal yang merupakan Pengadil FIFA dan Penolong Pengadil FIFA serta Nurul Ain yang cukup berpengalaman mengendalikan perlawanan Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun.

“Malah, mereka juga sudah biasa mengendalikan perlawanan membabitkan pasukan lelaki iaitu Piala Presiden dan Piala Belia beberapa musim kebelakangan ini.

“Jadi tahun 2020 ini bakal menjadi lonjakan buat ketiga-tiga mereka ini untuk mencabar kemampuan dengan mengendalikan perlawanan di peringkat yang lebih tinggi iaitu Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Saya berkeyakinan tinggi bahawa Rita, Nurul Ain dan Nur Akmal mampu menyahut cabaran ini dan akan melaksanakan tugas yang diberi nanti dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Rita pernah dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik Wanita Asia 2014 dan berpengalaman luas mengendalikan perlawanan antarabangsa antaranya Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Nurul Ain pula telah menceburkan diri dalam bidang kepengadilan ini pada usia yang cukup muda dan pernah diangkat sebagai Pengadil Wanita Berpotensi 2017 manakala Nur Akmal cukup konsisten prestasinya sepanjang bergelar penolong pengadil.

Sementara itu, Exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM menjelaskan bahawa ketiga-tiga mereka ini akan dilantik untuk tugasan bagi perlawanan Liga Premier terlebih dahulu sebelum dinaikkan pangkat untuk mengendalikan perlawanan Liga Super.

“Untuk permulaan, mereka akan mengadili perlawanan-perlawanan Liga Premier dan juga Piala FA yang mana Nur Akmal akan menjadi penolong pengadil bagi perlawanan Pusingan Pertama, SSFC lwn Kickers FC di Padang Merdeka, Port Dickson pada Sabtu ini (22 Februari 2020).

“Selepas melihat dan memantau prestasi mereka dalam beberapa perlawanan Liga Premier dan pusingan awal Piala FA ini, selain mereka sendiri sudah cukup bersedia untuk meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi, baru kita akan lantik mereka untuk perlawanan Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia,” jelasnya.

Saingan Liga Super dan Liga Premier 2020 akan bermula pada hujung minggu depan dimulakan dengan perlawanan Piala Sumbangsih 2020 merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Johor Darul Ta’zim lwn Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 28 Februari 2020.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: