Yusri anggap cabaran, bukan tekanan buru misi ke Liga Super 2021

Yusri (kiri) anggap cabaran buat dia untuk merealisasikan misi membawa Kelantan kembali beraksi di Liga Super musim 2021. Foto Kelantan FA

Yusri Che Lah menganggap sasaran kembali ke Liga Super 2021 dan merangkul satu piala merupakan satu cabaran besar buat dia dalam mempersiapkan Kelantan menghadapi saingan Liga Premier musim ini.

Ketua Jurulatih Kelantan itu bagaimanapun tidak melihat ia satu tekanan daripada pihak pengurusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd untuk membawa pasukannya kembali ke pentas liga tertinggi itu.

“Sudah pasti satu cabaran kerana semua jurulatih atau pemain akan berdepan setiap minit tekanan (tetapi) sebesar mana tekanan itu, kita harus laluinya dengan penuh sabar dan berusaha lebih tekun.

“Sesuatu sasaran yang diberikan pihak pengurusan, Insya Allah sekurang-kurangnya kita mampu capai walaupun tidak semua, (mungkin) sebahagian sudah memadai kerana impian saya adalah untuk membawa pasukan ini ke Liga Super, itu sasaran utama saya,” katanya kepada Cakap Sukan.

Jumaat lalu, Pengarah Urusan TRW Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari dalam sidang media mengumumkan sasaran Kelantan mahu kembali ke Liga Super 2021 selain meraih satu kejuaraan, pada musim ini.

Pengendali berusia 43 tahun itu turut berpandangan, sasaran yang ditetapkan pengurusan TRW Sdn Bhd itu sebagai isyarat agar semua pihak berganding bahu dan bekerjasama memulihkan reputasi skuad pantai timur itu.

“Saya biar realistik untuk bercakap mengenai sasaran apa yang diberikan kepada saya, kita perlu realistik kerana kantung tidak terlalu besar untuk membina pasukan yang gah mendapatkan sebanyak piala.

“Namun ia bagus bagi saya untuk bekerja lebih kuat mencapai apa yang disasar oleh pihak pengurusan.

“Walaupun ia agak sukar tapi saya percaya pemain sedia ada mampu menggalas tugas asalkan kami semua tidak dibebani permasalahan luaran yang mengganggu kestabilan pasukan,” ujarnya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: