
Ibarat mengemis! Itu senario yang mungkin boleh digambarkan oleh seorang bekas ketua jurulatih dari pasukan Pantai Timur musim 2018 yang mendakwa belum menerima gaji.
Menurut sumber ketika menghubungi Cakap Sukan, bekas majikannya itu gagal melunaskan tuntutan gaji yang diminta sejak meninggalkan pasukan pada musim lepas.
Malah, beberapa pemain yang pernah beraksi di bawah kendaliannya juga didakwa tidak dibayar gaji.
“Saya nak cakap kat kamu, sampai loni (hingga kini) beliau tak dapat gaji. Beliau bukannya minta berjuta-juta pun, tapi hanya menuntut hak.
“Malangnya, kosong dan keadaan samar. Pemain pula tak berani lah nak buka mulut sebab sayangkan karier. Itu beliau fahamlah.
“Sebagai orang lama, saya bersuara. Harap bekas majikannya itu dapat segera lunaskan gaji,” ujarnya sebentar tadi.
Tambah sumber itu lagi, dia hairan bagaimana pasukan yang pernah memenangi Piala Malaysia dan Piala FA boleh dibenarkan bermain oleh Malaysia Football League (MFL) dalam liga utama pada musim 2020.
“Semakan juga dapati, pasukan itu turut tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan rekod cukai pendapatan pun tiada,” kesalnya.
Apa yang pasti, Cakap Sukan mahu segala permasalahan ini dirungkai memandangkan kempen Liga Malaysia 2020 akan bermula penghujung bulan ini.
Cakap Sukan tidak mahu mendengar rungutan daripada pemain dan jurulatih berkaitan isu masalah gaji yang kerap berkumandang sejak kebelakangan ini.
Kebetulan lagi dua bulan kita nak menyambut Ramadan dan seterusnya Hari Raya Puasa, pasti aliran tunai wang amat diperlukan para pemain hatta jurulatih pun. Mohon cepat diselesaikannya.
Majulah bola sepak untuk negara !
Add Comment