
PASUKAN Selangor FA tampak lebih bersedia dan terurus dalam menghadapi saingan Liga Malaysia 2020.
Ini dijelaskan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas penggabungan pasukan Selangor dan PKNS musim ini.
“Persiapan pasukan Selangor lebih bersedia dengan kita membuat beberapa perubahan (gabungan kedua-dua pasukan).
“Kerajaan negeri juga ambil sikap menyesuaikan pasukan PKNS dengan Selangor, ” katanya selepas majlis perasmian Sweat and Shoot di Pekarangan Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 sebentar tadi.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf dan Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Ketika disoal berhubung berapakah dana yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk program bola sepak, ini jawapan Amirudin.
“PKNS berbelanja sekitar RM12 juta hingga RM15 juta setahun. Manakala, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terima sumbangan daripada pihak kerajaan negeri dan swasta dalam RM21 juta ke RM23 juta setahun.
“Saya lihat apabila kita gabungkan pasukan kita akan ada angka yang lebih signifikan…pemain, pengurusan, kita percaya kita mampu bersaing lebih hebat dan kuat musim depan,” ujarnya yang pernah bergelar Pengurus Selangor pada tahun 2015.
Menyentuh berkaitan bab bajet pasukan, beliau menjelaskan semua itu terletak di bawah keputusan pihak FA.
“Semua keputusan ini telah ditetapkan..ada badan pengurusan yang mana ada pemilik syarikat itu milik kerajaan negeri.
“Ada syer dari PKNS serta swasta dan ia bukannya hak milik swasta sebenarnya.
“Saya percaya formula ini akan kekal dan boleh melonjakkan pasukan Selangor dengan pengurusan dan pentadbiran yang baik.
“Kita juga dah bagi peruntukan pendahuluan kepada pasukan untuk tahun depan,” katanya.
Merah Kuning bimbingan B Sathianathan kini menggalas harapan peminat negeri itu untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu piala ke Shah Alam.
Add Comment