
Kegagalan bayaran baki pendapatan hak penyiaran Liga Malaysia 2019 sebanyak RM1.5 juta kepada pasukan Liga Super dan RM500,000 kepada pasukan Liga Perdana oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jelas menjejaskan persiapan pasukan bagi musim 2020.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Asmirul Anuar Aris berkata, sepatutnya MFL menjelaskan perkara tersebut lebih awal jika tidak mampu untuk mengotakan janji.
“Situasi ini sememangnya menjejaskan persiapan skuad Helang Merah kerana kami sudah memasukkan peruntukan itu untuk digunakan bagi tujuan tertentu,” katanya seperti dipetik ketika berkata kepada Arena Metro.

Asmirul bagaimanapun berkata, beliau telah menjangkakan perkara berkenaan lebih awal selepas badan pentadbir Liga Malaysia gagal membuat pembayaran hak penyiaran pada waktu yang ditetapkan.
“Saya sudah jangka perkara ini akan berlaku lebih-lebih lagi apabila timbul pelbagai masalah, sekali gus yang menerima kesannya adalah pasukan negeri.
“Lebih baik beritahu awal tidak mampu untuk membuat pembayaran bukannya ketika pasukan sedang sibuk melakukan persiapan untuk membentuk pasukan,”katanya lagi.
Terdahulu, MFL dalam kenyataan medianya berkata, ketiadaan pendapatan hak penyiaran Liga Malaysia pada musim 2019 menyaksikan baki kedua hak penyiaran tidak dapat diagihkan kepada Rakan Kongsi MFL.
Bagaimanapun MFL yang mengadakan Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa MFL (EGM) Yang Pertama menjelaskan, biarpun berdepan kekangan itu, mereka tetap menunaikan tanggungjawab dengan mengagihkan hak penyiaran dan komersial sejumlah RM24 juta kepada rakan kongsi pada 15 Julai lalu.
Berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada Rakan Kongsi akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL jika pendapatan hak penyiaran dan komersial kepada Rakan Kongsi adalah kurang daripada RM18 juta.
Jelas apa yang berlaku pada musim ini, MFL tidak meraih pendapatan hak penyiaran seperti dirancang untuk diagihkan kepada rakan kongsi namun selaku pengendali Liga Malaysia masih berjaya mengagihkan pendapatan sebanyak RM1.5 juta kepada pasukan Liga Super dan RM500,000 kepada pasukan Liga Premier pada 15 Julai lalu.
Add Comment