
Foto : NFDP
Pasukan Bawah 13 Tahun (B-13) Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mengejutkan pasukan Spartak Taskhkent dari Uzbekistan dalam aksi pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh di Padang 5 Akademi Mokhtar Dahari, dengan membelasah lawan dengan kemenangan sensasi 9-0.
Perlawanan ini menyaksikan skuad negara memperoleh kemenangan yang pertama apabila skuad kendalian Amarul Nazar Mohamed memulakan perlawanan dengan baik apabila berjaya menjaringkan enam gol pada separuh masa pertama permainan.
Pasukan AMD Panthers B-13 tahun tampak lebih yakin apabila meneruskan aksi cemerlang apabila menjaringkan tiga lagi gol pada separuh masa yang kedua dan keputusan itu kekal hingga ke wisel penamat.
Pada perlawanan ini, dua pemain berjaya menjaringkan hatrik iaitu Muhammad Hatif Irfan Che Hamizi dan Che Ku M. Aidil Idham Che Ku Ridzuan. Manakala Don Damien Muhammad Derwin, Muhammad Anjasmirza Saharudin dan Tuan Afif Iman Tuan Abdul Rahim berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan ini.
Ketua Pasukan AMD Panters B-13 Che Ku M. Aidil Idham Che Ku Ridzuan jelas gembira dengan keputusan pada pagi ini sambil menyatakan keyakinan untuk berdepan pasukan seterusnya pada perlawanan akan datang
“Kami amat gembira apabila pasukan kami menang perlawanan ini kerana pasukan kami bermain dengan baik apabila dapat menjaringkan gol yang banyak. Kami berharap untuk perlawanan seterusnya kami dapat menang perlawanan seterusnya menentang Pasukan Fagiano Okayama dari Jepun,” katanya dipetik menerusi Facebook NFDP, hari ini.
Untuk perlawanan seterusnya Pasukan AMD Panthers B-13 akan bertemu pasukan Fagiano Okayama dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Padang 5 Akademi Mokhtar Dahari pada hari esok, jam 4.30 petang.
Add Comment