
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan untuk menjadi Penaung Diraja Persatuan Golf Malaysia (MGA).
Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, dengan perkenan Seri Paduka Baginda ini, ia adalah pengiktirafan tertinggi kepada MGA dan melambangkan minat serta keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap sukan golf.
“Ini bermakna setelah wujudnya MGA sejak 1929 lagi, kita tak pernah ambil satu penaung diraja dan untuk itu kita memohon seseorang yang boleh memberi kita sokongan padu perjalanan dan organisasi ini.
“Alhamdulillah dengan perkenannya, maka saya lihat dengan cara dan semangat kita, MGA telah mula meningkat untuk melangsungkan kembali kejohanan Terbuka Malaysia yang sejak empat tahun tidak dilaksanakan kerana masalah mendapat penaja utama.
“Sekarang ini kita mula nampak perkembangan yang menggalakkan maka kita telah menetapkan supaya Terbuka Malaysia ini melibatkan hadiah wang tunai sebanyak USD1 juta,” katanya pada sidang media di Kota Permai Golf & Country Club hari ini.

Jelas Mohd Anwar, pihaknya mengkhususkan pertandingan Terbuka Malaysia ini kepada Jelajah Asia, Jelajah Jepun dan penyertaan pemain Asia.
“Dan kita ada kelainan dengan memberi peluang kepada pemain golf profesional Malaysia beraksi. Tambahan slot daripada 22 pemain kepada 40 pemain. Daripada jumlah itu, 30 pemain profesional, enam top adventure dan empat top junior.
“Jadi ini akan memberikan semangat
kepada pemain golf Malaysia dan kita turut akan menjemput empat legenda untuk bermain,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau juga mahu Terbuka Malaysia dijadikan satu kejohanan kepunyaan orang Malaysia.
Katanya lagi, kejohanan ini akan memberi markah kepada pemain untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 Jepun.
“Terbuka Malaysia adalah pertandingan yang pertama sebelum Terbuka Jepun dan kita harapkan lebih ramai pemain golf Jelajah Asia akan bermain di sini,” katanya.
[…] CAKAPSUKAN.COM […]