
KEJOHANAN kalah mati yang biasanya diadakan sebelum saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bermula telah dibatalkan !
Dinamakan sempena Tan Sri P. Alagendra, pertandingan itu diperkenalkan empat tahun lalu sebagai pembuka tirai untuk permulaan musim MHL yang baru.
Pada 2019, kejohanan itu masih dijalankan walaupun terdapat hanya tujuh pasukan dalam MHL berikutan penarikan diri beberapa pasukan utama.
Dan kali ini, dengan hanya lapan pasukan yang mendaftar untuk musim 2020, kejohanan kalah mati itu telah dibatalkan.
Seorang pegawai pasukan bertanding yang enggan dikenali mengesahkan mereka menerima maklumat bahawa kejohanan kalah mati tidak akan lagi diadakan dan kempen MHL akan terus bermula pada 10 Januari depan dan akan berakhir menjelang akhir Februari 2020.
Tujuh pasukan yang menyertai tahun lalu telah mendaftar.
Pasukan berkenaan adalah Tenaga Nasional, UniKL, Maybank, Pasukan Hoki Terengganu, Nur Insafi, UiTM dan TNB Thunderbolts.
Pasukan baru yang mendaftar ialah Kuala Lumpur.
Dan satu lagi perubahan drastik adalah pengurangan pemain import setiap pasukan yang dibenarkan mendaftar, iaitu daripada enam pemain sebelum ini menjadi empat pemain untuk musim baru.
Dengan Liga FIH Pro bermula pada Januari depan, pemain utama daripada Argentina, Belanda, India, Australia, New Zealand, Jerman, Sepanyol, Belgium dan Great Britain tidak akan disenaraikan dalam MHL 2020.
Dan ini membuka laluan bagi TNB yang mempunyai sebahagian besar pemain kebangsaan untuk menyertai kejohanan MHL dengan kekuatan dua kali ganda.
Add Comment