Uncategorized

Skrip sama berulang


SUBKHI SUDARJI

INSIDEN pergeseran segelintir penyokong Malaysia dan Indonesia terus membayangi aksi kelima Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Bermula dari tindakan provakasi sehinggalah balingan botol dan suar (flare) serta kerusi hingga menyebabkan pegawai keselamatan mengambil peranan mengawal keadaan bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Terdahulu Harimau Malaya turun dengan semangat memburu kemenangan bagaimanapun bermula sedikit hambar dengan hantaran bola tidak sempurna dan gagal memecah benteng pertahanan Indonesia.

Gawang Malaysia hampir dibocori pada minit ke 19 melalui percubaan pemain Indonesia, Febri Hariyadi namun Khairulazhan bertindak cemerlang menepis percubaan tersebut untuk memastikan gawang tidak dibocori.

Tindakan Khairulazhan tersebut nyata memberikan kesan buat dirinya apabila mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Farizal Marlias.

Kekasaran benteng Indonesia yang menjatuhkan Safawi diluar kotak penalti membuka ruang buat Pemain Paling Bernilai (MVP) dua tahun berturut-turut itu untuk meledak gol melalui sepakan percuma cantik menerjah penjuru gawang Indonesia yang dikawal, Muhamad Ridho pada minit ke 29.

Safawi meledak gol buat Harimau Malaya melalui sepakan percuma yang menerjah gawang Indonesia. (Foto : Adam Ghazali)

Memasuki babak kedua, Tan Cheng Hoe melakukan pertukaran dengan memasukkan Norshahrul Idhlan Talaha dan mengeluarkan Akhyar Rashid untuk menambahkan sengat jentera serangan.

Malaysia yang mempamerkan corak pertahanan dan sesekali menyerang seharusnya menggandakan kelebihan namun tolakan Syamer Kutty pada minit ke- 63 tersasar jauh.

Penjaring gol sulung Malaysia ketika aksi menentang Thailand Khamis lalu, Brendan Gan hampir mencetak nama selaku penjaring gol kedua namun rembatan derasnya pada minit ke 66 berjaya ditepi Muhammad Ridho.

Safawi terus membuktikan ketajaman gerakan penyudah apabila meledak gol kedua buat dirinya dan pasukan selang enam minit kemudian selepas berjaya melepasi kawalan ketua pasukan Indonesia, Rudolof Yanto Basna dengan merembat kencang mengegarkan jaring gol pelawat.

Indonesia berpeluang merapatkan jurang selepas mendapat sepakan penalti pada minit ke-81 namun pemain gantian pelawat, Osas Marvellouis Ikpefua gagal menyempurnakan sepakan tersebut untuk menewaskan Farizal.

Kekentalan pertahanan Harimau Malaya yang dipimpin Aidil Zafuan dan Shahrul Saad memastikan kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan dengan kemenangan memihak Malaysia 2-0 mengatasi Indonesia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: