
KUALA LUMPUR – Selepas berjaya mencipta kejutan dengan meloloskan diri dalam kelompok lapan terbaik dunia pada Kejohanan Footgolf Piala Dunia Tahun 2023 yang berlangsung di Orlando, Amerika Syarikat, pasukan Footgolf Malaysia kini bersedia untuk memulakan lembaran sejarah yang baru.
Biarpun sukan Footgolf masih asing di dalam senario sukan tempatan, namun berbekalkan semangat yang membara, pasukan Footgolf Malaysia nekad untuk membuktikan bahawa kejayaan di dalam sukan ini turut mampu mengharumkan nama negara di persada dunia.
Bakal berlangsung di The Els Club Desaru pada 23 hingga 27 September depan, Kejohanan Footgolf Piala Asia yang dibawakan oleh penaja utama MicroLEAP sebuah syarikat pelaburan patuh syariah yang saban tahun terus menyokong perkembangan sukan footgolf di Malaysia.
Kejohanan ini bakal menjadi medan pertembungan di antara enam negara yang aktif di dalam sukan yang mencabar dan penuh teknikal ini iaitu Malaysia, Jepun, China, Chinese Taipei, Korea dan Australia.
Ketua pasukan, Mohd Fahmi Hatta yakin kemampuan pasukan yang telah berlatih bersama beberapa bulan ini.
“Dengan persediaan rapi yang telah dilakukan, kami semakin mengenali kekuatan dan kelebihan setiap rakan sepasukan, ini penting untuk para pemain mempersiapkan diri untuk menghadapi pasukan lawan terutamanya dalam acara berpasukan nanti, berdepan dengan pasukan pasukan pilihan seperti Jepun dan China,’ katanya.
Dengan jadual kejohanan yang padat sepanjang lima hari, menurut salah seorang lagi pemain, Hanif Miswan yakin dengan pengalaman yang dibawa ketika menyertai Piala Dunia di Orlando bakal mematangkan dirinya dan rakan sepasukan yang lain.
Beliau yang juga merupakan Pengulas Sukan, Pengacara Tv dan Penyampai Radio teruja untuk beradu kehebatan dalam sukan footgolf berdepan dengan pasukan lain di rantau Asia ini.
“Skuad kali ini menarik, ada adunan pemain yang berpengalaman di pentas antarabangsa dan mempunyai ranking yang tinggi di peringkat Dunia dan Asia.
“Selain Jepun dan China, ada juga pasukan berpengalaman seperti Australia yang merupakan tuan rumah untuk edisi Piala Asia terdahulu , Korea Selatan dan Chinese Taipei yang boleh disifatkan sebagai pendatang baharu dalam sukan ini… jadi peluang Malaysia seimbang dan InshaAllah kita boleh melakukan kejutan menjadi juara,” ujarnya.
Naib Presiden Persatuan Footgolf Malaysia yang juga pemain kategori Men Senior nombor satu di Asia, Jeffrey Cottam berkata, beliau berharap penganjuran kali ini membuka mata penggemar sukan di Malaysia terutamanya untuk lebih mengenali dan mencuba sukan ini.
“ Kejohanan ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan dan secara konsisten di masukkan juga di dalam kalendar Hari Sukan Negara, sambutan di peringkat nasional.
“Jadi dengan penganjuran berskala antarabangsa ini, sudah pasti ianya bakal menjadi satu lagi lembaran sejarah dalam sukan tempatan.
“Sukan Footgolf mempunyai potensi yang tinggi untuk pemain pemain negara kita, kita ada pemain yang berkedudukan ranking Top 20 dalam penyertaan pertama ketika Piala Dunia, terpilih untuk menyertai France Masters untuk tahun ini.
“Saya sendiri menjuarai Terbuka Australia 2024 dalam kategori senior baru baru ini, jadi kita menjemput peminat peminat sukan untuk hadir ke Desaru hujung bulan ini dan menyokong pasukan Footgolf Malaysia mencipta sejarah,” kata beliau.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Footgolf Malaysia merangkap Pengurus Pasukan Footgolf Malaysia, Ir Ts Mohd Hafiz Zainudin pula yakin dengan lebih pendedahan, pasukan Malaysia boleh melangkah jauh dalam sukan ini di persada dunia.
“Dengan penglibatan lebih 40 negara di seluruh dunia yang aktif dalam sukan ini, tidak mustahil Footgolf boleh disenaraikan di temasya Olimpik dan Malaysia menjadi salah satu Pasukan Gergasi Dunia satu hari nanti.
“Namun, fokus kita jelas pada Piala Asia 2024 kali ini, doakan misi Malaysia Tawan Asia Berjaya,” katanya.
Kejohanan Footgolf Piala Asia ini akan mempertandingkan TIGA kategori utama iaitu Men Open, Men Senior dan Women Open.










Add Comment