Antarabangsa

Piala Dunia Kelab: The Blues buka aksi berdepan dengan juara kelab Asia


Chelsea berdepan dengan Al-Hilal Rabu ini. Foto: Reuters

Oleh: JJFIRDAUS

JUARA Liga Juara-Juara UEFA, Chelsea akan bertemu Al-Hilal, juara Liga Juara-Juara AFC dalam pertembungan separuh akhir Piala Dunia Kelab FIFA 2021 pada 9 Februari nanti di Stadium Mohammed bin Zayed, Abu Dhabi.

Chelsea yang mendapat ‘bye’ di peringkat awal menerusi undian, berpeluang menambah koleksi kejuaraan mereka dan sedang memburu kejuaraan sulung dalam kejohanan yang menemukan juara-juara kelab setiap konfederasi.

Bagaimanapun, Chelsea mendapat berita kurang baik apabila ketua jurulatih, Thomas Tuchel didapati positif Covid-19 dan tidak bersama-sama pasukan ke Abu Dhabi dan semua sesi latihan dikendalikan oleh barisan kejurulatihan.

Al-Hilal berjaya ke separuh akhir selepas membenam cabaran wakil kelab tuan rumah, Al Jazira 6-1 dengan enam pemain berasingan menjaringkan gol selepas ketinggalan di awal babak pertama.

Thomas Tuchel

Ini adalah percubaan kedua kelab Arab Saudi ini untuk muncul juara selepas berjaya menduduki tempat keempat pada edisi 2019 apabila tewas di penentuan tempat ketiga kepada wakil Mexico, Monterrey di Qatar.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, juara Liga Juara-Juara CAF, Al Ahly dari Mesir akan berhadapan juara Liga Juara-Juara CONMEBOL, kelab Brazil Palmeiras pada 8 Februari di Stadium Al-Nahyan.

Al Ahly berjaya mengenepikan cabaran juara Liga Juara-Juara CONCACAF, Monterrey dari Mexico 1-0 kini akan cuba mengulangi pencapaian pasukan negara yang layak ke final AFCON bertemu Palmeiras yang juga mendapat ‘bye’.

Sementara itu, Monterrey akan berhadapan Al Jazira untuk perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam manakala wakil pilihan Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC), AS Pirae menduduki tangga ketujuh selepas tewas 1-4 kepada Al Jazira dalam perlawanan pembukaan.


Add Comment

Click here to post a comment