Bola Sepak Terkini

Lembu punya susu sapi dapat nama


 

Hidalgo dibawa masuk menyertai Sri Pahang FC atas usaha Tengku Muda Pahang melalui ejennya Toro Sports Limited.

“LEMBU punya susu sapi dapat nama,” itulah kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berhubung laporan media yang mengaitkan Kiko Insa adalah individu yang membawa masuk pemain import baharu, Manuel Hidalgo.

Jelasnya, laporan berkenaan adalah tidak tepat sama sekali kerana Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Ahmad Shah merupakan individu sebenar yang bertanggungjawab membawa masuk pemain kelahiran Argentina itu.

“Sri Pahang FC dapat mengesan bakat pemain berkenaan adalah hasil usaha Tengku Muda Pahang yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas pemain Pahang 2004 iaitu Lucas Ariel Cominelli.

“Cominelli adalah Presiden Toro Sports Limited berpengkalan di United Kingdom yang memiliki ramai pemain berpotensi serta berkualiti dimana dia juga adalah ejen bertanggungjawab ke atas Hidalgo.

“Toro Sports Limited juga ejen yang membawa masuk penyerang berbisa Pahang, Matias Ruben Conti,” jelasnya kepada CAKAPSUKAN, sebentar tadi.

Datuk Mohammed Suffian Awang

Mohamad Suffian turut menjelaskan, kehadiran Hidalgo ke Malaysia tiada kaitan dengan Kiko Insa malah dia sendiri memaklumkan tidak mengenali bekas pemain Pahang itu.

“Pelik tiba-tiba Kiko Insa dikaitan dengan Hidalgo, dia (Kiko Insa) tiada kena mengena dalam sistem Pahang. Ini umpama lembu punya susu, sapi dapat nama.

“Jadi saya harao penyokong Sri Pahang FC memahami situasi sebenar bahawa Tengku Muda Pahang adalah individu bertanggungjawab sepenuhnya membawa masuk Hidalgo atau lebih mesra dengan panggilan “Manu” ini,” tegasnya.

 


Add Comment

Click here to post a comment