Antarabangsa Bola Sepak Terkini

FAM pilih Taka


PERSATUAN  Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Takayoshi Ishihara atau lebih dikenali sebagai Taka sebagai Ketua Jurulatih skuad wanita Bawah 17 Tahun kebangsaan.

Ishihara hadir ke Malaysia dengan pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan, pembangunan pemain, pembentukan pasukan dan kepimpinan, termasuk pengalaman membimbing kelab di Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

Antara pencapaian terbesar dalam kerjaya jurulatih berusia 49 tahun dari Jepun ini adalah ketika membimbing INAC Kobe Leonessa pada 2013.

Di bawah kendaliannya, kelab berkenaan menjuarai empat kejohanan utama dalam satu musim iaitu Nadeshiko League, Nadeshiko League Cup, International Women’s Club Championship dan Empress’s Cup.

Ishihara akan dibantu oleh dua jurulatih berpengalaman dari Jepun iaitu Ito Mizuki yang menggalas tugas sebagai penolong ketua jurulatih manakala Mayu Hinada dilantik sebagai jurulatih kecergasan.

Ito yang akan turut bertindak sebagai jurulatih penjaga gol pernah menabur bakti dengan beberapa kelab di Jepun, Australia dan Singapura, antaranya Osaka City FC, Sydney FC dan Albirex Niigata Singapore.

Pelantikan ketiga-tiga jurulatih ini juga mencerminkan komitmen FAM terhadap pembangunan dan pemerkasaan bola sepak wanita dengan memastikan barisan kejurulatihan mempunyai kepakaran serta pengalaman yang diperlukan bagi membangunkan pasukan secara lebih sistematik, profesional dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment