
LIGA Bolasepak Amatur (AFL) berharap tiada masalah dihadapi pasukan Liga A1 Semi-Pro terutama membabitkan isu pembayaran gaji bagi musim 2026/2027 yang akan membuka tirainya hujung bulan ini.
Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menjelaskan pihaknya sedaya upaya berusaha untuk memastikan masalah pembayaran gaji seperti yang melanda beberapa pasukan sebelum ini tidak berlaku pada musim baharu nanti.
Beliau memaklumkan, antara usaha yang dilakukan termasuk melakukan tapisan atau penilaian rapi sebelum meluluskan permohonan semua pasukan untuk bersaing dalam saingan itu.
Katanya, sebanyak 18 pasukan memohon untuk beraksi dalam saingan separuh profesional itu, namun selepas melalui proses penilaian, 14 pasukan diluluskan penyertaan mereka untuk musim 2026/2027
“Kita menilai dokumentasi semua pasukan, ia mirip pelesenan kelab tetapi tidak terlalu ketat seperti pelesenan kelab. Kami juga melihat dari segi kewangan kelab, sebab kami kena tahu berapa bajet pasukan.
“Satu lagi kami juga melihat kepada rekod terdahulu, maknanya bagaimana rekod pasukan atau prestasi mereka bersama AFL dalam liga sebelum ini. Jadi kalau kata ada banyak isu, ada banyak masalah, itu boleh menolak sedikit orang kata ‘mata’ mereka untuk kekal di Liga A1,” katanya selepas Majlis Pelancaran Liga dan Bola Rasmi Pertandingan Liga A1 Semi Pro 2026/2027, di Shah Alam.

Majlis itu dirasmikan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman dan turut dihadiri Rakan Kongsi AFL, Datuk Yazid Sukor; Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd dan Pengarah Urusan Arena Prestige Sdn Bhd, Amirul Syafiq Azidin.
AFL sebelum ini mengumumkan Imigresen FC II dan AAK UNISEL FC akan menyertai saingan Liga A1 Semi-Pro, sekali gus melengkapkan 14 pasukan yang akan bersaing dalam saingan itu bagi musim 2026/2027.
Selain isu tunggakan gaji, Mohd Raimi turut yakin masalah lain seperti penarikan diri pasukan pada saat akhir yang berlaku dalam musim sebelum ini tidak akan berulang.
“Sebelum ini kami jalankan liga dengan 16 pasukan, kemeriahan memang kita nampak, banyak perlawanan. Namun, bukan semua pasukan mampu kekal atau bertahan dengan stabil sampai ke penghujung.
“Kalau kita tengok musim lalu, sesuatu yang kita memang tak nak berlaku tapi berlaku juga seperti ada penarikan diri saat akhir. Jadi, kami sangat berharap dan berdasarkan senarai yang ada, kami yakin, maknanya peristiwa yang sama itu tak berulang,” katanya.









Add Comment