
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan pihaknya mahu mendapatkan pandangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum membuat keputusan mengenai pendedahan laporan audit badan kepada umum selepas menjadi isu yang menarik perhatian pelbagai pihak.
Tegasnya, FAMmengambil maklum permintaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang mahu laporan penuh audit AFC terhadap FAM didedahkan kepada umum serta dibahaskan pada sidang Parlimen yang dijadual bermula 22 Jun ini.
“Pihak sekreteriat kini sedang menunggu maklum balas rasmi daripada Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul sebelum membuat keputusan lanjut.
“Saya sudah menghantar kenyataan Ramkarpal kepada Windsor dan kami kini menunggu maklum balas daripada AFC mengenai perkara itu,” ujarnya.
Noor Azman mengakui FAM mengambil pendekatan berhati-hati kerana risau jika laporan audit itu boleh diserahkan kepada pihak ketiga boleh menjejaskan urusan pentadbiran persatuan.
“Jika ditanya kepada saya, kami tidak pasti sama ada laporan itu boleh diberikan kepada pihak ketiga kerana kami tidak mahu berlaku campur tangan luar terhadap persatuan. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan bersama AFC dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).
“Pada pandangan saya, isu ini sudah pun ditangani di peringkat AFC dan FIFA menerusi audit yang dijalankan. Biarlah perkara ini diuruskan antara FAM, AFC dan FIFA,” katanya lagi..






Add Comment