Antarabangsa Bola Sepak Futsal Terkini

Malayan Tigers optimis saingan terbaik di Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN 2026

Jamhuri membuka peluang kepada tiga pemain muda negara - Nur Farah Wahida Norlee dan Thivyashini Jegatesan (MBSJ FC) serta Nur Harizah Mohd Zaini (UiTM Lioness FC)

KETUA jurulatih skuad futsal Malayan Tigress, Jamhuri Zainuddin optimis mempersiapkan pasukan menjelang Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN 2026 dari 24 Februari hingga 2 Mac 2026 di Korat, Thailand.

Pasukan futsal wanita kebangsaan memulakan latihan pusat selama 10 hari bermula Selasa, 10 Februari hingga 19 Februari 2026 di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya sebelum senarai akhir 14 pemain berlepas ke Thailand pada 20 Februari 2026.

Daripada senarai 18 pemain ini, Jamhuri mengekalkan hanya enam pemain dari skuad Sukan SEA 2025 di Thailand Disember lalu dan memanggil beberapa pemain yang pernah disenaraikan sebelum ini serta pemain dari skuad bola sepak wanita kebangsaan.

Jamhuri turut membuka peluang kepada tiga pemain muda negara – Nur Farah Wahida Norlee dan Thivyashini Jegatesan (MBSJ FC) serta Nur Harizah Mohd Zaini (UiTM Lioness FC) bersama skuad futsal wanita negara pada panggilan kali ini.

Beliau mahu memberi fokus kepada persiapan kecergasan dan mental pemain tatkala bakal berdepan dua jaguh di Asia Tenggara, Thailand dan Indonesia dalam Kumpulan A.

“Fokus saya bagi kem latihan pusat skuad futsal Malayan Tigress ini adalah dari segi kecergasan dan juga kekuatan mental.

Sedar cabaran hebat menanti Malaysia, Jamhuri mahu memperkemas bahagian pertahanan skuad futsal Malayan Tigress selain memastikan anak buahnya turun dengan persembahan terbaik.

“Dari segi perancangan permainan, kita cuba untuk memberi fokus kepada serangan pasukan Thailand dan Indonesia.

“Walaupun kita berdepan cabaran hebat berdepan dua pasukan handalan (Thailand dan Indonesia), barisan kejurulatihan akan memastikan saingan terbaik diberikan oleh para pemain.

“Realistiknya, kedua-dua pasukan ini memiliki skuad dan persiapan yang lebih baik berbanding Malaysia, namun kita bakal berjuang sehabis baik,” katanya.

Skuad Malayan Tigress bakal membuka tirai saingan menentang Indonesia pada Rabu, 25 Februari 2026, jam 7.30 malam (waktu Malaysia) disusuli aksi berdepan Thailand pada Khamis, 26 Februari 2026, juga pada jam 7.30 malam dengan kedua-dua perlawanan bakal berlangsung di Terminal 21 Korat, Thailand.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading