
BENTENG terakhir DPMM FC, Haimie Nyaring enggan ulang kesilapan sama yang boleh menghukum pasukan untuk mereka kembali bangkit di aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia menentang Kuching City FC, Sabtu ini.
Haimie mengakui kesilapannya di hadapan gawang sehingga memberi jaringan sendiri kepada lawan tidak seharusnya berlaku menyaksikan DPMM FC tewas 1-3 kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu pada Sabtu lalu.
Apatah lagi, dengan ketangkasan yang ada pada Kuching City menambah lagi duka kepada tuan rumah dan mereka perlu ambil iktibar untuk lebih bijak melakukan serangan balas dalam apa jua situasi.
“Saya mengakui jaringan sendiri itu memang kesilapan daripada saya sebab masa itu tengok pasukan Kuching betul-betul yakin di hadapan gawang dan mereka ambil peluang itu.
“Mereka (Kuching City) sebenarnya memang laju, ada fizikal yang bagus dan penyusunan bola yang baik, jadi banyak benda yang kita kena buat untuk atasi kelebihan yang mereka ada”, katanya.

Bagi pemain kelahiran Brunei ini, peluang DPMM FC di aksi timbal balik masih belum tertutup dan setiap pemain perlu perbaiki peranan masing-masing terutamanya di bahagian pertahanan dan serangan yang sering kali menjadi masalah kepada mereka.
“Saya masih rasa DPMM ada peluang besar untuk aksi kedua ini sebab prestasi kami sebelum ni pun bagus, cuma perlu lebih fokus dan disiplin di bahagian pertahanan dan serangan.
“Dari aksi pertama lagi, DPMM boleh belajar supaya lebih fokus daripada awal permainan dan kena kurangkan kesilapan mudah.
“Kepentingan untuk ada disiplin di bahagian pertahanan juga diperlukan selain komunikasi antara pemain yang harus lebih bagus agar kita selepas ini dapat penyudah yang lebih tajam”, tambahnya.
Selain aksi antara Kuching City dan DPMM FC pada Sabtu, Negeri Sembilan FC juga bakal berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bertemu Selangor FC yang memiliki bekalan tipis selepas menang 1-0 tempoh hari.






Add Comment