
Pertembungan kemuncak saingan Piala FA musim ini bakal menemukan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan pencabar, Sabah FC yang kali terakhir beraksi di pentas final kejohanan kalah mati ini pada 1998 di mana mereka tewas 0-1 kepada Johor FA.
Sudah pasti pertembungan ini menjanjikan aksi final edisi ke-35 Piala FA sesuatu yang amat dinanti-nantikan peminat bola sepak tempatan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, harga tiket dikekalkan seperti musim sebelumnya dengan empat kategori ditawarkan kepada penyokong kedua-dua kelab.
“MFL mengekalkan struktur harga tiket Piala FA ini dengan tawaran serendah RM50 dan RM70 bagi kategori General Admission, manakala kategori Premium berharga RM150 dan VIP Grandstand pada harga RM200.
“Kami percaya pengumuman awal ini akan memudahkan penyokong JDT dan Sabah FC membuat perancangan perjalanan untuk hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.
“Seperti sebelum ini, urusan penjualan tiket akan diserahkan sepenuhnya kepada kedua-dua pasukan finalis bagi memastikan proses penjualan tiket itu dijalankan secara teratur dan adil untuk setiap penyokong,” katanya.
Sementara itu, tiada tiket khas atau harga istimewa disediakan untuk kanak-kanak di mana hanya mereka yang berumur 4 tahun ke atas sahaja diwajibkan memiliki tiket seperti penonton lain.
Manakala bagi pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pula tidak memerlukan tiket namun penjaga diwajibkan untuk memiliki tiket yang sah dan perlu berada di zon tempat duduk khas yang telah ditetapkan.
Dalam masa sama, Shazli turut menjelaskan bahawa MFL telah menetapkan tarikh 14 Disember pada Ahad sebagai tarikh final selepas mengambil kira beberapa perkara termasuklah aksi AFC Champions League Elite (ACLE) membabitkan pasukan finalis JDT.
“JDT akan berdepan Shanghai Port pada 9 Disember di SSI (Stadium Sultan Ibrahim) jadi dengan mengambil kira tempoh masa persediaan untuk pasukan finalis, tarikh 14 Disember adalah yang paling sesuai untuk mengadakan perlawanan final ini dan berharap semua penyokong akan hadir beramai-ramai memeriahkan Stadium Nasional Bukit Jalil nanti”, tambahnya.
Perbincangan mengenai agihan tiket akan diadakan bersama pengurusan JDT dan Sabah FC pada hari ini justeru penyokong boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai jualan tiket menerusi pengumuman rasmi yang akan dibuat oleh kedua-dua kelab dalam masa terdekat.





Add Comment