Antarabangsa Bola Sepak Harimau Malaya Terkini

27 Pengadil Tamat Kursus Akademi Pengadil Profesional

Akademi Pengadil Profesional telah menghasilkan dua Pengadil FIFA, satu Penolong Pengadil FIFA, enam Pengadil Liga Super, 10 pegawai Video Assistant Referee (VAR), enam Assistant VAR dan empat Replay Operator.

SERAMAI 27 pengadil telah berjaya menamatkan Kursus Akademi Pengadil Profesional  Modul 9/2025 yang dijalankan bermula 24 hingga 28 November 2025 di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu.
Modul ini merupakan modul terakhir bagi kumpulan 2023–2025, menandakan penamat kepada sebuah perjalanan latihan intensif selama tiga tahun bagi pengadil-pengadil terlibat.
Seramai 30 peserta telah mengikuti modul ini dengan bimbingan barisan instruktur berpengalaman – Kassim Kadir Bacha, Suhaizi Shukri, Mohd Amirul Izwan Yaacob dan C. Ravichandran.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk Saaran Nadarajah menegaskan bahawa integriti dan standard pengadilan tidak akan dikompromi.
“FAM tidak akan berkompromi dan tidak akan menutup kes yang mana pengadil menunjukkan prestasi yang lemah.
“Saya menyeru semua pengadil agar lebih serius semasa menjalankan tugas dan wajib menunjukkan prestasi yang optimum.
“Dikesempatan ini, terima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu kerana telah menyediakan padang untuk latihan praktikal untuk kami menjalankan program ini,” kata Datuk Saaran.
Daripada 30 peserta yang memulakan program tiga tahun ini, 27 pengadil berjaya menamatkan kesemua modul.
FAM ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua 27 pengadil atas komitmen, disiplin dan ketekunan mereka sepanjang program.
Sepanjang tempoh pelaksanaannya, Akademi Pengadil Profesional telah menghasilkan dua Pengadil FIFA, satu Penolong Pengadil FIFA, enam Pengadil Liga Super, 10 pegawai Video Assistant Referee (VAR), enam Assistant VAR dan empat Replay Operator.
Melihat kejayaan serta impak program ini kepada pembangunan pengadilan negara, FAM akan meneruskan Program Akademi Pengadil Profesional Kumpulan kedua (2026–2028) yang akan terus menjadi platform utama melatih pengadil muda yang berbakat dan berpotensi tinggi.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading