Bola Sepak Terkini

Yayasan Lagenda dan SIUC jalin kerjasama bantu bekas pemain bola sepak dan jurulatih kebangsaan lanjutkan pengajian

Saya perlu jadi lebih cerdik supaya kerja saya lebih tersusun

 

Pengerusi SIUC, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin (tengah) pada sidang media selepas majlis konvokesyen SIUC di Putrajaya, baru-baru ini.

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan an jurulatih dipelawa untuk menambahkan ilmu pengetahuan di dada dengan melanjutkan pengajian di Spectrum International University College (SIUC) dimana yuran pengajian akan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Lagenda.

Pengerusi Yayasan Lagenda, Azlan Johar, bekas pemain kebangsaan yang  tercari-cari peluang baharu kini mempunyai harapan mahupun menerusi inisiatif Yayasan Lagenda bersama SIUC.

Tegasnya melalui kerjasama ini, bekas pemain dan jurulatih berkelayakan boleh melanjutkan pengajian dengan pembiayaan penuh.

Malah lebih menarik pengalaman mereka mewakili negara dikira sebagai kredit akademik—buat pertama kalinya pengorbanan di padang diterjemahkan menjadi nilai pendidikan yang rasmi.

Ujarnya, menerusi pembelajaran secara dalam talian di SIUC, bekas pemain dan jurulatih boleh belajar dari rumah tanpa menjejaskan komitmen kerja atau keluarga.

“Ia membuka ruang kepada mereka untuk menambah ilmu perniagaan, pengurusan sukan dan pelbagai bidang baharu yang lebih relevan dengan kehidupan selepas persaraan.

“Saya selalu fikir, macam mana nak bantu kawan-kawan bekas pemain. Ramai yang ada bakat, cuma tak tahu arah. Dengan ilmu, mereka boleh rancang hidup mereka semula,” ujar bekas penyerang negara dari 1983 hingga 1987 itu.

Bagi Azlan, pendidikan bukan hanya tentang sijil, tetapi tentang maruah. Ia memberi peluang kepada bekas pemain untuk memahami dunia luar padang—mencari peluang, menilai risiko dan menyusun langkah masa depan.

“Kami membiayai sepenuhnya yuran pengajian untuk sambung pelajaran sampai ke peringkat mana sekalipun. Kami akan cuba membiayai sepenuhnya. Kami akan cari dana untuk memastikan kos pengajian dibiayai,” katanya yang ditemui sempena Konvokesyen kedua SIUC di Putrajaya pada Ahad 16 November.

Turut hadir Pengerusi SIUC, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin dan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dollah Salleh.

Kata-kata Azlan bukan sekadar retorik kosong, sebaliknya beliau kini mengikuti pengajian peringkat Master dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan tidak menolak kemungkinan meneruskan langkah ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Langkahnya itu menjadi pemangkin kepada rakan-rakan seangkatan seperti Dollah dan P. Maniam yang akan turut menyertai program sama.

“Saya perlu jadi lebih cerdik supaya kerja saya lebih tersusun. Kalau saya boleh belajar, takkan mereka tak boleh. Selagi mampu, kita jangan berhenti menimba ilmu,” katanya ketika ditemui sempena Konvokesyen kedua SIUC di Putrajaya.

Sementara itu, Mohamed Salleh pula melihat bahawa kemasukan bekas pemain Harimau Malaya ke dalam program pengajian ini bukan sekadar inisiatif biasa, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap jasa dan pengalaman mereka.

Katanya, ramai pemain terdahulu tidak berpeluang mengejar pendidikan tinggi kerana komitmen terhadap pasukan kebangsaan, justeru platform seperti ini membuka ruang baharu yang selama ini terpinggir.

Malah beliau menyifatkan bekas pemain sebagai kumpulan yang mempunyai disiplin, komitmen dan pengalaman kerja yang tinggi, menjadikan mereka calon ideal untuk laluan pengajian fleksibel seperti ODL dan APEL.

“Mereka ini bukan datang kosong. Pengalaman mereka bertahun-tahun dalam pasukan kebangsaan sebenarnya adalah nilai akademik yang boleh diiktiraf,” katanya.

Tambahnya lagi, SIUC memberi ruang kepada pemain yang sudah lama meninggalkan padang untuk membina semula keyakinan diri melalui pendidikan.

“Ada antara mereka mungkin rasa sudah lambat untuk belajar semula. Tetapi kita tunjukkan bahawa pendidikan ini tidak memilih usia, latar belakang atau kerjaya terdahulu,” jelasnya.

Beliau turut memuji kerjasama Yayasan Lagenda yang menyediakan pembiayaan bagi meringankan beban para pemain dan memberi motivasi tambahan kepada mereka yang sebelum ini terkekang dengan faktor kewangan.

“Kalau bayaran pun kita permudahkan, peluang belajar pun kita bukakan, tidak ada sebab mereka tidak boleh berjaya,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading