Antarabangsa Terkini

Sukan SEA 2025 : Skechers taja 2,000 pasang kasut buat kontinjen Malaysia

Penajaan ini merupakan susulan daripada kejayaan kerjasama antara Skechers dan MOM pada Sukan Olimpik Paris 2024.

 

KONTINJEN Malaysia ke Sukan SEA Ke-33 yang berlangsung di Thailand dari 9hb hingga 20hb Disember mendapat tonik dari rakan penaja iaitu Skechers yang menyediakan dua pasang kasut untuk setiap orang.

Dua pasang kasut itu terdiri daripada model Max Cushioning Premier 2.0 dan GOrun Elevate 2.0 bagi lelaki manakala Max Cushioning Elite 2.0 dan GOrun Elevate 2.0 bagi wanita untuk digayakan semasa upacara pembukaan dan aktiviti di luar padang atau gelanggang.

Pemberian itu sebahagian daripada penajaan oleh Skechers selaku Kasut Rasmi bagi Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025.

Majlis pengumuman penajaan tersebut melibatkan Skechers dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah berlangsung di butiknya yang terletak di The Exchange TRX, pada hari ini, disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Dalam majlis yang sama, MOM turut mengumumkan Skechers telah dilantik sebagai Rakan Kasut Sukan Rasmi bagi Kontinjen Negara ke Temasya-Temasya Sukan di bawah naungannya bagi kitaran Olimpik 2025-2028.

Selain Sukan SEA 2025, ianya merangkumi Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, Sukan Komanwel Glasgow 2026, Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026, Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Sukan SEA Malaysia 2027 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.


Add Comment

Click here to post a comment