
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mengambil langkah wajar berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan selepas meneliti alasan bertulis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa beliau sudah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan percaya KDN akan menjawab mengenai perkara itu.
“Untuk aspek itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri jadi kita serahkan kepada kementerian itu dan saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution) tetapi belum dapat lagi maklum balas. Saya sendiri sedang meneliti alasan bertulis penuh FIFA.
“Saya fikir beri beliau masa untuk meneliti juga dan kemudiannya saya pasti KDN akan menjawab. Namun, untuk KBS, esok kita akan jawab dalam Parlimen.
“KBS akan membuat penggulungan dalam Parlimen di mana belanjawan bajet untuk KBS tahun 2026 akan dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen. Jadi, semua ini akan dijawab dalam Parlimen esok,” kata Hannah ketika ditemui pemberita pada majlis pengumuman penajaan Skechers X Team Malaysia untuk Sukan SEA 2025, di sini, hari ini.







Add Comment