
MANTAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin kembali menyertai badan induk itu apabila dilantik sebagai Presiden Kehormat.
FAM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat FAM adalah berdasarkan kredibiliti, pengalaman serta sumbangan besar beliau terhadap pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa selama lebih 30 tahun.
“Artikel 22 Statut FAM memperuntukkan bahawa Kongres FAM boleh menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM atau Ahli Kehormat FAM kepada mana-mana individu yang memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan bola sepak.
“Bagi gelaran Presiden Kehormat FAM, individu berkenaan pernah memegang jawatan Presiden FAM manakala bagi Ahli Kehormat FAM, individu berkenaan pernah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM.
“Gelaran ini diberikan atas penamaan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM dan individu berkenaan boleh menghadiri Kongres FAM serta menyertai perbahasan namun tidak mempunyai hak untuk mengundi,” ujar FAM selepas Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025, di sini hari ini.
Untuk rekod, Kongres FAM pada tahun 2014 menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Shah yang berkhidmat dengan penuh dedikasi sebagai Presiden FAM selama tiga dekad dari 1984 hingga 2014.





Add Comment