Alor Setar – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menegaskan bahawa mereka masih berjuang untuk kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan, sekali gus menafikan dakwaan bahawa pasukan itu akan menarik diri daripada Liga Malaysia.
Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, dalam satu kenyataan media, menjelaskan bahawa pihak kelab tidak pernah menghantar sebarang surat atau menyatakan hasrat untuk meninggalkan liga seperti yang ditularkan dalam media sosial.
“Kami sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengendali liga untuk mematuhi dan mencukupkan segala keperluan Perlesenan Kelab dalam tempoh yang ditetapkan oleh Club Licensing Body MFL. Kita tidak pernah ada niat untuk membubarkan pasukan,” tegas beliau.
Menurut Mohd Daud, pihak pengurusan kelab sedang berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan perlesenan kelab, yang merupakan syarat utama bagi membolehkan pasukan terus beraksi dalam Liga Super.
“Kami akan terus berjuang dan berusaha untuk kekal di Liga Super musim hadapan. Tidak ada yang sia-sia apabila kita berusaha dan berjuang. Yang sia-sia adalah tidak berusaha dan tidak buat apa-apa,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau turut berharap kenyataan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada para penyokong, sambil menegaskan bahawa keputusan akhir mengenai kedudukan KDA FC dalam liga berada di luar kawalan mereka dan tertakluk kepada ketentuan Allah SWT.
Di samping itu, beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua penyokong Hijau Kuning dan menyeru mereka untuk terus mendoakan yang terbaik buat kelab kesayangan mereka.
Dengan kenyataan ini, KDA FC memberi isyarat jelas bahawa mereka belum mengibarkan bendera putih dan akan terus berusaha memastikan tempat mereka dalam saingan tertinggi bola sepak Malaysia.





Add Comment