Alor Setar – Ketua Jurulatih interim Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag, tetap berbangga dengan prestasi pasukannya walaupun tewas tipis 2-3 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Beliau menegaskan bahawa pemain, khususnya barisan muda, telah memberikan segala yang mereka mampu dalam perlawanan ini, dibantu oleh pengalaman pemain senior serta import.
Namun, faktor pengalaman menjadi pemisah utama antara kedua-dua pasukan.
“Malam ini, lapan pemain muda berada dalam pasukan, dan mereka berjaya menunjukkan karakter mereka.
“Saya perlu berlaku adil dalam memberikan peluang kerana mereka juga telah berusaha keras sepanjang tempoh latihan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Kekalahan ini menyaksikan KDA FC kekal di tangga ke-10 liga dengan 20 mata selepas 19 perlawanan, sementara KL City FC menduduki tempat keenam dengan 28 mata daripada 21 perlawanan.
Victor turut mengakui bahawa pasukannya berdepan pelbagai cabaran, termasuk isu kewangan yang mengekang keupayaan mereka untuk menuntut lebih banyak komitmen daripada pemain senior.
Namun, beliau tetap menghargai usaha yang telah ditunjukkan oleh setiap pemain dalam skuadnya.
“Kita bergerak dengan apa yang ada. Pemain-pemain muda ini masih mencari rentak dan masa depan dalam bola sepak tempatan, dan saya tidak boleh meminta lebih daripada mereka kerana mereka telah memberikan segala-galanya,” tambahnya.
Dengan baki lima perlawanan dalam saingan Liga Super, Victor menegaskan bahawa pasukan kejurulatihan akan terus memberikan fokus kepada pemain yang masih mempunyai keinginan untuk berjuang demi Hijau Kuning.
Seterusnya, KDA FC akan berdepan Kuching City FC dalam aksi tertunda Liga Super pada 12 Mac ini di Sarawak, di mana mereka berhasrat untuk bangkit dan mencari kemenangan.
Walaupun keputusan tidak berpihak kepada KDA FC, semangat dan dedikasi pemain muda dalam pasukan ini memberi harapan bahawa kelab tersebut masih mempunyai masa depan cerah dalam saingan bola sepak tempatan.










Add Comment