Antarabangsa Bola Sepak Terkini

Christopher Raj tidak bertanding Exco FAM !!

Pergi tidak bermaksud terus menghilang. Saya masih berada di sini sekiranya diperlukan dan senantiasa sedia untuk menghulurkan bantuan.

BEKAS  Pengurus Pasukan Bawah 17 tahun kebangsaan, Christopher Raj tidak bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk Penggal 2025-2029.

Ujarnya, dia sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Oktober tahun lalu dan hari ini dengan rasa dukacita saya secara rasminya mengumumkan pengundurannya.

“Justeru, tarikh 15 Januari lalu ialah hari terakhir saya menunaikan tanggungjawab hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM sebagai Exco sejak 2017.

“Selepas lapan tahun berkhidmat, diakui ini bukanlah satu keputusan yang mudah tetapi ia adalah jalan terbaik untuk saya fokus sepenuhnya kepada kerjaya hakiki,” katanya.

Tegas Christopher keputusanya tersebut dibuat bagi membuka peluang buat rakan Exco yang lain menggalas jawatan berkenaan.

“Tanggungjawab ini sememangnya indah di mata kasar namun ia datang dengan cabaran dan tanggungjawab yang besar demi negara.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden FAM, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan FAM di atas peluang, sokongan dan pengalaman berharga yang saya perolehi sepanjang saya berkhidmat.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga buat rakan-rakan Exco yang berjuang bersama saya selama ini dan selamat maju jaya, teruslah membawa bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Christopher juga berterima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan di Persatuan Bolasepak Negeri (FA) atas sokongan dan kerjasama mereka dalam membangunkan bola sepak Malaysia.

Christopher juga mengucapkan terima kasih kepada rakan media atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada bola sepak negara.

“Hakikatnya, manusia tidak sempurna tetapi kita semua berjuang atas panji yang sama untuk negara. Justeru saya memohon maaf atas segala khilaf sepanjang berkhidmat.

“Pergi tidak bermaksud terus menghilang. Saya masih berada di sini sekiranya diperlukan dan senantiasa sedia untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2025-2029 akan diadakan pada Kongres FAM Ke-61,15 Februari 2025.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading