
SHAH ALAM– Status kes pemain Selangor FC, Faisal Halim yang disimbah asid masih jadi tanda tanya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk mendedahkan perkembangan terkini serta dalang di sebalik kes tersebut.
Exco Pembangunan Sukan Selangor, Najwan Halimi, berkata, kes tersebut sudah enam bulan berlalu namun perkembangan masih jadi tanda tanya.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San, telah menghantar surat kepada polis untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Sehingga hari ini, kita masih belum mengetahui status kes Faisal. Kali terakhir kita dimaklumkan bahawa Speaker telah menulis surat kepada polis memaklumkan usul yang dipersetujui Dewan Negeri Selangor,” kata Najwan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang DUN Selangor Ke-15.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd. Shafie Ngah (PN – Sungai Ramal) mengenai status terkini siasatan pihak berkuasa terhadap Faisal yang juga pemain kebangsaan.
Pada Julai lalu, DUN Selangor membuat usul tergempar mengecam tindakan ekstrem dan keganasan terhadap Faisal selepas ia dipersetujui oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
Usul tersebut dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pada 5 Mei lalu, media melaporkan Faisal mengalami lecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara, Selangor.





Add Comment