Bola Sepak

Individu dalam industri bola sepak gagal, bukan bola sepak Malaysia : Tunku Ismail


KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan bahawa kadangkala sukar untuk difahami mengapa sesetengah pihak menganggap bola sepak Malaysia gagal, sedangkan kelabnya telah berkembang menjadi pasukan nombor satu di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings.

Jelas Pemangku Sultan Johor itu lagi, Malaysia juga telah layak ke Piala Asia untuk pertama kali dalam tempoh 40 tahun.

“Prestasi JDT di Asia telah menyumbang 21.54 (68.7%) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015, membolehkan lebih banyak kelab Malaysia menyertai pertandingan Asia.

“JDT juga merupakan satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC (2015) dan antara kelab dengan fasiliti terbaik di Asia,” kata baginda dalam satu kenyataan.

Baginda berkata, jadi bagaimana bola sepak Malaysia dianggap gagal apabila ada satu pasukan yang berjaya di Asia.

Menurut Tunku Ismail, bola sepak tidak gagal, tetapi individu-individu dalam pasukan yang gagal mengurus dan meningkatkan standard serta mereka yang sentiasa menyokong dan bukannya memberikan tekanan terhadap kegagalan itu.

“Masalah gaji tertunggak, kekurangan infrastruktur, kekurangan pembangunan akar umbi di peringkat kelab, atau pengurusan yang tidak baik semuanya berpunca daripada individu-individu yang tidak berkelayakan dalam industri sukan,” ujar baginda.

Menurut baginda, sebelum menuding jari dan mencari kesalahan pada sistem atau JDT, walaupun Harimau Selatan berjaya di Asia termasuk penganugerahan ‘AFC Two-Star Academy’, adalah lebih wajar melihat apa yang berlaku dari dalam dan mendesak perubahan, bermula dengan pasukan masing-masing.

Tambahnya, liga dengan pasukan yang diuruskan dengan baik serta mempunyai fasiliti moden dan pembangunan program akar umbi yang kuat di peringkat kelab akan meningkatkan lagi standardnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading