
PENYERANG baharu, Kelantan United FC (KUFC) Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali tekad menabur bakti bersama negeri kelahiran selain memenuhi impian kedua ibu bapanya.
Anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini yang merupakan bekas pemain Terengganu FC hampir tujuh tahun menyatakan impian ibu bapa dan keluarga adalah faktor utama dirinya memilih untuk.menyarung jersi Kelantan United FC pada musim 2024/25.
Lebih dikenali dengan gelaran Pokli, dia diumumkan menjadi sebahagian dari pasukan yang berpengkalan di Kota Bharu setelah menghabiskan sebahagian besar kariernya bersama Terengganu FC.
“Sejujurnya, saya memilih Kelantan United kerana ingin merealisasikan impian ibu bapa yang mahu melihat saya beraksi dengan kelab dari negeri kelahiran.
“Saya akui ada terima dua tawaran dari Negeri Sembilan FC dan Melaka FC namun saya bersetuju pulang ke Kelantan demi hasrat keluarga.
“Sasaran utama saya adalah untuk pasukan. Saya mahu tambah kekuatan dari segi “attacking” agar mampu bersaing dengan pasukan teratas seperti JDT, Terengganu serta Selangor”,” tegasnya.
Tambah Fazli Ghazali, dia kurang dapat minit permainan di Terengganu pada musim 2023 dan pada musim baru ini dia berhajat untuk menembusi barisan pemain utama Kelantan United sekaligus meningkatkan prestasi dirinya dari masa ke masa.
Fazli yakin skuad Kijang Hijau mampu menjadi platform kepadanya untuk memperagakan aksi serta memberi impak tertinggi demi membantu kelab mencapai sasaran kedudukan yang lebih baik berbanding musim sebelum.





Add Comment