
SELEPAS tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Super 2024 ekoran kegagalan mendapatkan lesen kebangsaan, Kelantan FC kini mengorak langkah baharu dengan bakal menyertai saingan Liga MBSB Bank Championship 2024.
Hasrat The Red Warriors (TRW) menyertai MBSB Bank Championship 2024 yang merupakan liga kedua selepas Liga Super seakan-akan menjadi kenyataan selepas kelibat pegawai hadir ke pejabat Amateur Football League (AFL), di Wisma FAM, tengah hari tadi.
Difahamkan kehadiran pegawai berkenaan ke pejabat AFL adalah untuk mendapat makluman dan panduan-panduan terperinci yang diperlukan bagi sesebuah pasukan sebelum menghantar permohonan rasmi kepada AFL.
Perbincangan pegawai Kelantan FC tersebut bersama pegawai AFL berlangsung kira-kira dua jam.
Difahamkan berdasarkan peraturan sedia ada yang digunapakai AFL, setiap permohonan mana-mana pasukan yang berkelayakan akan dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan sama ada dibenarkan beraksi atau sebaliknya.
Kejohanan MBSB Bank Championship yang dikelolakan Amateur Football League (AFL) yang memasuki musim kedua sebelum ini dikenali Liga M3 dilihat pentas terbaik buat Kelantan FC untuk bangkit bersaing dengan pasukan-pasukan lain yang dijangka sepak mula Mei 2024.
Kelantan FC terpaksa melupakan hasrat untuk kekal dalam saingan Liga Super musim 2024-2025, selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan kelab itu bagi Lesen Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) Mohamad Yasin Abdullah berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat semalam, selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.
“Keputusan itu diumumkan kepada pasukan hari ini melalui pemakluman rasmi, sekali gus menyaksikan Kelantan tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super 2024-2025,” katanya dalam kenyataan.
Kelab dari Pantai Timur itu, sebelum ini mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa AB berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan kerana masalah kewangan.
Pada 1 Januari lepas, Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif mengumumkan bahawa Kelantan tidak layak bertanding dalam Liga Super 2024-2025 kerana gagal memperoleh Lesen Kebangsaan sebelum tarikh akhir (31 Disember 2023).
Keputusan itu dibuat selepas kegagalan skuad The Red Warriors (TRW) untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan di bawah subkriteria F.04 dan subkriteria F.11 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan masing-masing pada 30 November dan 31 Disember.
Kriteria Kewangan di bawah subkriteria F.04 merujuk kepada No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – sehingga Jun, manakalasub-kriteria F.11 mengenai No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – sehingga Ogos.
Skuad TRW yang terpalit masalah kewangan, menamatkan saingan Liga Super 2023 pada kedudukan tercorot dalam kalangan 14 pasukan bertanding dengan mengumpul lapan mata selepas tewas dalam 22 perlawanan dan meraih masing-masing dua keputusan menang dan seri.





Add Comment