Bola Sepak Terkini

Kuching City FC enggan mengalah, PDRM FC waspada kebangkitan lawan

Macam-macam boleh berlaku, 90 minit adalah masa yang panjang

Ketua jurulatih Kuching City FC Aidil Shahrin Sahak bersama pemainya Petrus Shitembi pada sidang media menjelang aksi final kedua malam ini.

KETINGGALAN tiga gol tanpa balas tidak mematahkan semangat Kuching City FC untuk bangkit semula di Stadium Negeri malam ini untuk perlawanan kedua final MFL Challenge Cup menentang PDRM FC.

Misi untuk melihat Kuching City menjulang trofi mungkin agak sukar namun dengan beraksi di laman sendiri kali ini setidak-tidaknya dapat memberi semangat baharu kepada barisan pemain untuk mereka mengejar kembali jaringan.

Sudah tentu, watak yang perlu diberi perhatian adalah Abu Kamara dan Petrus Shitembi yang menjadi antara sandaran utama dalam menggerakkan pasukan untuk memburu gol.

Pemain Kuching City, Arham Khussyairi menyifatkan dia dan rakan sepasukan sudah melupakan kekalahan tempoh hari dan kini bersedia untuk mencipta sejarah baharu di hadapan penyokong sendiri, Ahad ini.

“Sepertinya kita nak tutup buku lama, dan akan buka buku baru sebab dalam bola sepak tiada yang mustahil.

“Kalau nak dikatakan pada perlawanan lepas, kami kurang daripada segi komunikasi dan insya-Allah kita sudah mula perbaikinya dengan lebih baik kali ini.

“Sepertimana yang kita tahu, ini adalah sejarah baharu untuk kita lakukan di Kuching sebab dah lama tidak merasa aksi final di sini, jadi kami akan cuba beri saingan untuk memburu kemenangan”, katanya.

xxxx
Pengendali PDRM FC, Dato’ Ahmad Yunus Mohd Alif mahu barisan pemainnya sentiasa waspada.

Sementara itu, hadir sebagai pasukan pelawat, PDRM FC belum selesa dengan bekalan tiga gol yang dibawa mereka ke Kuching kali ini.

Kelab Sang Saka Biru ini tetap tidak memandang rendah keupayaan anak buah Aidil Sharin Sahak yang dilihat lebih bersedia dengan perubahan strategi untuk bangkit semula di laman sendiri.

Kapten pasukan, Amir Saiful Badeli menyifatkan tekanan tetap ada memandangkan apa pun boleh berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan.

“Alhamdulillah dengan kemenangan 3-0 tempoh hari, tetapi kita memang tak selesa lagi dengan keputusan ini.

“Masih lagi ada baki 90 minit perlawanan jadi, kita tidak boleh ambil mudah dan kekal fokus untuk kami semua dapat beraksi dalam keadaan yang baik.

“Bagi saya apabila dah penghujung musim ini, dengan siapa pun kita lawan, pasukan kita tetap memberikan 100 peratus di atas padang”, katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading