
ALOR SETAR – Ketua Jurulaltih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain memberikan penghargaan kepada semua pemainnya yang menewaskan Negeri Sembilan FC 3-0 pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada Sabtu.
Biarpun berdepan isu tunggakan gaji, Sang Kenari masih memberikan aksi terbaik dan meletakkan sasaran untuk mengejar tempat kedua terbaik Liga Super.
Harapan mereka terus menyala untuk memburu slot automatik beraksi di pentas Asia pada musim hadapan.
“Terima kasih kepada pemain kerana menang perlawanan ini dan menghadiahkan tiga mata istimewa sempena hari jadi saya. Kemenangan ini begitu makna.
“Saya rasa kita berpeluang dengan baki tiga perlawanan selepas ini kita akan bertemu Kelantan di away, Selangor di laman sendiri dan terakhir Sabah di laman lawan,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman selepas perlawanan tamat pada Sabtu.
Kemenangan ke atas NS FC menyaksikan KDA FC mengumpul 50 mata untuk berada di tangga ketiga manakala Selangor dengan 52 mata selepas 23 perlawanan Liga Super.
Add Comment