
KEJAYAAN Kelab Bolasepak Imigresen FC (IFC) meraih gelaran sulung MBSB Bank Championship 2023 adalah kejayaan bersama yang perlu dikenang dan dijadikan sejarah dalam sukan bola sepak tempatan.
Bukan mudah untuk membentuk menjadi sebuah pasukan yang bermula dari bawah namun keazaman dan semangat membara meletakkan imej dan jenama IFC dalam pentas bola sepak tempatan akhirnya terhasil pada penyertaan tahun kedua.
Menamatkan saingan diperingkat separuh akhir musim pertama (2022), kegagalan adalah pencetus kebangkitan dengan dorongan padu pengurusan serta pentadbiran yang memastikan gelaran MBSB Bank Championship 2023 milik The Mighty Tigers.
Ketua Pegawai Eksekutif, JIM Sdn Bhd, Nor Halim Ahmad berkata, kejayaan yang diraih adalah usaha gigih semua pihak secara langsung mahupun tidak langsung untuk memastikan kejuaraan.
“Nampak mudah namun hakikatnya pelbagai cabaran dan halangan perlu ditempuhi bermula pemilihan pemain, kebajikan dan infrastruktur semasa latihan dilaman sendiri mahupun ditempat lawan.
“Alhamdulillah IFC memiliki pengurusan dan individu yang begitu arif dan berpengalaman dalam dunia bola sepak tempatan, insan inilah yang banyak memberikan tunjuk ajar dari awal hinggalah IFC bergelar juara.
“Tidak lupa juga teknikal dan kejurulatihan yang sentiasa memahami kehendak serta permasalah pemain, semua ini digabungkan bersama sebagai satu rencah dan membentuk kerjasama padu yang menghasilkan kejayaan.
“Tahniah buat semua yang berusaha memastikan kejayaan gemilang ini,” katanya kepada CakapSukan.com.

PEMBANGUNAN BERMULA TAHUN LALU
Mengulas penyertaan awal IFC dalam kancah bola sepak tempatan,Nor Halim memaklumkan pembangunan pasukan imigresen sudah bermula sejak musim 2022.
Tegasnya, pada ketika itu, pasukan imigresen baru layak masuk ke Liga M3 dimana kebanyakan pemain terdiri dari anggota Imigresen dan sudah pun didaftarkan untuk permulaan liga.
“IFC Sdn Bhd mula mengorak langkah memilih dan membawa masuk pemain baru untuk diserap masuk semasa jendela perpindahan pemain pada 2022.
“Ketika itu juga IFC Sdn Bhd telah membawa Datuk Zainal Abidin Hassan sebagai Pengarah Teknikal IFC.
“IFC juga terus memastikan keadaan kewangan sentiasa kukuh dan pengurusan pasukan ditambah baik sepanjang musim 2022 sehinggalah berjaya mencapai tahap sseparuh akhir dan mulai digeruni oleh pasukan-pasukan lain dalam Liga M3 ketika itu.

PERANCANGAN TELITI MEMBUAHKAN HASIL
Nor Halim berkata, menjelang tahun 2023, pengurusan IFC Sdn Bhd amat yakin bahawa pasukan Imigresen boleh sekurang kurangnya mengulangi kejayaan ke peringkat separuh akhir.
“Menerusi perancangan awal yang teliti, pertukaran barisan pemain hampir 70 peratus dari musim 2022, wajah dan taring berbeza dipamerkan pada 2023.
“Walaupun di awal musim, persefahaman antara pemain belum begitu baik, tetapi ianya terus diperbaiki sepanjang musim 2023.
“Prestasi permainan bertambah baik dan boleh dilihat dari keputusan-keputusan perlawanan selepas jendela perpindahan serta dihujung musim sebelum bergelar juara,” ujarnya.
IFC sah bergelar juara sulung MBSB Bank Championship 2023 selepas menewaskan Melaka FC, 1-0 pada aksi terakhir yang dijalankan serentak bersama lima perlawanan digelanggang berbeza Sabtu lalu.
Sebelum perlawanan, anak didik Mat Zan Mat Aris berada dikedudukan kedua dibelakang KL Rovers yang hanya dibezakan satu mata.
Keputusan seri 1-1 KL Rovers ketika berdepan Harini Selangor FT menyebabkan tampuk liga yang dipimpin sejak awal musim terlepas dan menjadi milik Imigresen FC.
Kejuaraan milik The Mighty Tigers selepas meraih 17 kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan untuk mengumpul 55 mata mengatasi KL Rovers ditangga kedua dengan perbezaan satu mata manakala tempat ketiga milik Harini Selangor FT yang mengumpul 51 mata.
Add Comment