PASAR RAYA terkenal di Malaysia, AEON BiG (M) Sdn. Bhd menjalinkan kerjasama terbaharu bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas sepak mula Pestabola Merdeka 2023 sehingga penghujung 2024.
Kehadiran AEON BiG sebagai rakan penaja pasar raya rasmi FAM dan Harimau Malaya menjelang kempen edisi ke-42 Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung pada 13 dan 17 Oktober ini dilihat sebagai satu kerjasama yang cukup istimewa buat FAM.
Pengumuman kerjasama bersama AEON BiG itu telah dilangsungkan selepas Majlis Pelancaran Pestabola Merdeka 2023 di AEON Big, cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur, petang tadi.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan jalinan kerjasama bersama AEON BiG bakal membuka peluang untuk FAM meluaskan lagi jenama Harimau Malaya di seluruh negara.
“Dengan 21 cawangan di seluruh negara, sudah tentu FAM dapat memanfaatkan peluang untuk mempromosikan jenama FAM dan Harimau Malaya serta kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung Oktober ini.
“Usaha untuk membangunkan arena bola sepak adalah usaha yang kolektif membabitkan pelbagai pihak termasuk barisan penaja. Tanpa sokongan daripada mereka, sudah tentu objektif FAM untuk memperkukuhkan sistem bola sepak negara tidak dapat dicapai.
“Mewakili pihak FAM, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak AEON BiG di atas kesudian untuk menjadi sebahagian daripada keluarga FAM,” kata Datuk Haji Hamidin.
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata AEON BiG menerusi 21 cawangan yang ada di seluruh negara dijangka dapat menarik minat peminat sukan bola sepak tanah air menyaksikan kejohanan Pestabola Merdeka 2023.
Tambah beliau, kerjasama yang terjalin erat antara AEON BiG dan FAM adalah pilihan tepat selaras dengan prestasi mantap yang ditunjukkan pemain pada kojahanan bola sepak pada tahun ini.
“Sukan bola sepak merupakan salah satu sukan yang amat dekat di hati kebanyakan rakyat Malaysia. Kami amat bersyukur kerana mempunyai peluang untuk mendekatkan lagi warga AEON BiG dengan sukan.” tambah beliau.
Penglibatan AEON BiG di dalam bidang sukan ini bertujuan untuk mempromosikan sukan tempatan dan membina hubungan yang lebih kukuh di dalam komuniti.
Melalui falsafah untuk menawarkan “pelbagai pilihan dengan nilai yang hebat” kepada pelanggan, penajaan ini adalah salah satu bukti usaha berterusan AEON BiG untuk menyokong aktiviti sukan dan gaya hidup sihat di Malaysia.
Add Comment