Harimau Malaya akan memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Republik Kyrgyz.
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menuntut peningkatan prestasi daripada para pemain skuad Harimau Malaya bermula dari dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Syria dan China di Chengdu, China, 6 dan 9 September ini.
“Medan ujian buat skuad Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari depan adalah bermula dengan dua aksi persahabatan di China pada September ini, sebelum kita akan berdepan pula India dan Palestin/Tajikstan pada Pestabola Merdeka 2023 di Bukit Jalil pada Oktober.
“Seterusnya pada November, kita akan memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Republik Kyrgyz.
“Kesemua pasukan ini kedudukan ranking mereka adalah lebih baik daripada kita. Sudah tentu, ini menjadi medan ujian terbaik buat kita mempamerkan kemampuan sebenar bagi bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik di Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian Datuk Haji Hamidin ketika bertemu para pemain dan pegawai skuad Harimau Malaya, petang tadi.
Turut hadir ialah Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Ayub; Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman serta Kim Pan Gon, selaku ketua jurulatih kebangsaan merangkap pengurus pasukan dan Datuk Wira Kamarul Ariffin Mohd Shahar selaku penolong pengurus pasukan.
Hamidin juga berterima kasih kepada barisan pemain skuad Harimau Malaya yang sentiasa bersemangat dan komited dalam menerima panggilan tugasan negara.
“Saya tahu yang anda keletihan kerana mengharungi jadual perlawanan domestik dan antarabangsa di sepanjang tahun. Namun apabila bermain untuk negara, bermainlah dengan sepenuh jiwa dan sehabis baik, demi maruah negara,” tegas Datuk Haji Hamidin.
Add Comment