Terkini

MSWP salur bantuan Madani bernilai RM278 ribu kepada 83 badan sukan

Inisiatif MSWP ini diharap dapat mendorong badan sukan supaya mengamalkan tadbir urus yang lebih efisien dan berkesan dalam membantu pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan,

JABATAN Wilayah Persekutuan menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyampaikan Bantuan MADANI Kepada Badan Sukan Kuala Lumpur dan Putrajaya Bagi Tahun 2023 berjumlah RM278,000 kepada keseluruhan 83 badan sukan.

Bantuan ini diberikan pada setiap tahun biarpun ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia dengan bantuan diberikan kepada badan sukan yang berdaftar dan bergiat aktif di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga di Labuan bagi membantu kelancaran operasi pengurusan persatuan sukan.

Pada 19 Ogos 2023 ini, sebanyak 25 badan sukan di Labuan pula akan menerima Bantuan MADANI ini dengan jumlah bantuan sebanyak RM70,000.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri  Rosida Jaafar berkata, secara keseluruhannya pada tahun ini, terdapat penambahan 14 badan sukan yang baharu disenaraikan bagi menerima bantuan MADANI berdasarkan laporan dan prestasi semasa badan sukan terbabit.

Tambahnya lagi, Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan Wilayah Persekutuan dilancarkan dan bakal menjadi mekanisme kepada penilaian pencapaian badan sukan di Wilayah Persekutuan daripada aspek tadbir urus selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Selari dengan Pelan Strategik MSWP yang menekankan good governance atau tadbir urus badan sukan yang lebih efisien, inisiatif MSWP ini diharap dapat mendorong badan sukan supaya mengamalkan tadbir urus yang lebih efisien dan berkesan dalam membantu pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan,” ujarnya pada  Majlis Bantuan MADANI Kepada Badan Sukan Kuala Lumpur dan Putrajaya Bagi Tahun 2023.

Menerusi Penarafan Bintang itu nanti, antara elemen yang akan dinilai iaitu Dokumen Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) badan sukan, urus tadbir badan sukan, kewangan dan pencapaian badan sukan di peringkat Kebangsaan atau lebih tinggi.

Menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung pada 17-24 Ogos 2023 di Sarawak, Rosida turut mengingatkan persatuan sukan di Wilayah Persekutuan untuk kembali bangkit mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Untuk rekod, kontinjen Wilayah Persekutuan menduduki tempat ketiga keseluruhan pada SUKMA lalu.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: