Bola Sepak Terkini

Pengedar jam tangan terkemuka jalin kerjasama dengan FAM

Mewakili barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, skuad Harimau Malaya serta seluruh warga kerja FAM, saya ingin mengalu-alukan kedatangan Marco Worldwide (M) Sdn Bhd sebagai rakan rasmi jam tangan FAM dan Harimau Malaya.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM)  mengumumkan jalinan kerjasama terbaharunya bersama syarikat pengedar rasmi jam tangan Caterpillar (CAT), Marco Worldwide (M) Sdn Bhd untuk tempoh setahun.

Presiden FAM, Datuk Hamidin  Mohd Amin yakin bahawa jam tangan edisi terhad CAT x Harimau Malaya ini akan mendapat sambutan daripada penyokong bola sepak tanah air.

“Usaha FAM dalam mengukuhkan jenama Harimau Malaya dalam pasaran tempatan sejak beberapa tahun ini telah menampakkan hasil dan ini boleh dilihat menerusi pelbagai kolaborasi bersama barisan penaja FAM termasuk Marco Worldwide (M) Sdn Bhd.

“Saya pasti kempen jualan jam tangan CAT x Harimau Malaya ini akan mendapat sambutan hangat daripada seluruh rakyat Malaysia terutama dalam kalangan penyokong Harimau Malaya lebih-lebih lagi menjelang Pestabola Merdeka 2023 yang akan diadakan Oktober ini.

“Mewakili barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, skuad Harimau Malaya serta seluruh warga kerja FAM, saya ingin mengalu-alukan kedatangan Marco Worldwide (M) Sdn Bhd sebagai rakan rasmi jam tangan FAM dan Harimau Malaya.  Semoga jalinan kerjasama ini akan memacu kedua-dua organisasi ini kearah kecemerlangan dan kejayaan,” ujarnya.

Majlis jalinan kerjasama di antara FAM dan Marco Worldwide (M) Sdn Bhd yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya itu turut menyaksikan pelancaran jam tangan edisi terhad CAT x Harimau Malaya.

Jam tangan edisi terhad CAT x Harimau Malaya ini didatangkan dengan reka bentuk CAT yang tahan lasak seperti kalis air sedalam 100 meter dan juga direka mengikut trend terkini. Selain, ia juga membawa warna tradisi Harimau Malaya iaitu hitam dan kuning.

Tambahnya lagi, Harimau Malaya diseru agar tidak mensia-siakan usaha barisan penaja FAM yang tidak henti menzahirkan sokongan mereka terhadap perjuangan skuad bola sepak kebangsaan mengharumkan nama negara.

“Usaha FAM untuk membangunkan arena bola sepak negara serta memastikan prestasi skuad Harimau Malaya berada di tahap tertinggi tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan daripada barisan penaja FAM.

“Barisan kejurulatihan serta pemain skuad Harimau Malaya perlu menjadikan sokongan daripada barisan penaja ini sebagai inspirasi serta motivasi untuk sentiasa memberikan terbaik ketika beraksi demi negara,” katanya.

Pengarah Executive Marco Worldwide Sdn Bhd, Ong Sim Jeng

Sementara itu,  Pengarah Executive Marco Worldwide Sdn Bhd, Ong Sim Jeng,berbesar hati dapat berkolaborasi dengan organisasi ternama seperti FAM.

“Kami berbangga untuk menyokong usaha FAM dalam membangunkan arena bola sepak negara. Usaha FAM boleh dilihat menerusi keputusan cemerlang yang dicapai oleh pasukan Harimau Malaya dan juga jumlah peminat Harimau Malaya yang ramai di seluruh Malaysia.”

“Melalui kepimpinan Datuk Haji Hamidin, saya yakin jenama FAM dan jenama Harimau Malaya boleh diperkukuhkan lagi, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Saya menantikan lagi keputusan hebat daripada Harimau Malaya dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang.” tambah Encik Ong.

Dengan pengeluaran 2,000 unit jam tangan edisi terhad CAT x Harimau Malaya, ia boleh didapati bermula Selasa ini, 8 Ogos 2023 pada harga RM499.00 secara eksklusif di Shopee dan seterusnya pada Rabu, 9 Ogos 2023 di kedai pengedar rasmi Caterpillar terpilih di seluruh negara serta kedai dalam talian rasmi Marco eStore dan Lazada.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: