Terkini

Sukan Universiade macam Olimpik


BERTEMAKAN ‘Perayaan Belia dan Impian’, Temasya Sukan Universiti Dunia atau Universiade edisi ke-31 di Chengdu, China yang bakal disertai hampir 10 ribu atlet daripada 113 buah negara yang menunggu sejak 2021 untuk berkumpul di Stadium Dong’an Lake Sports Park dibuka secara rasmi malam semalam.

Perasmian disempurnakan Presiden Xi Jinping dalam suasana gilang-gemilang, penuh bercahaya, berwarna warni, diiringi dentuman dan percikan bunga api, kemeriahan sorakan tanpa henti, keunikan persembahan teknologi tinggi.

Kini giliran Chengdu, yang juga terkenal tempat asalnya Panda Gergasi yang terletak di Wilayah Sichuan, daerah ketiga selepas Beijing 2001 dan Shenzen pada 2011 menjadi tuanrumah temasya sukan Universiade yang dianggap ke dua terbesar selepas Sukan Olimpik ini.

Malah persaingan antara wilayah China dalam menganjurkan temasya sukan antarabangsa menyaksikan komitmen tinggi untuk mereka menonjolkan kehebatan masing-masing dari aspek penganjuran. Malah masing-masing cuba mengekalkan satu penanda aras yang sama tinggi atau mungkin lebih hebat lagi seperti sewaktu Beijing menjadi tuanrumah Sukan Olimpik 2008.

 

Bukan dua tahun tetapi empat tahun Chengdu mengambil masa menyiapkan diri selaku tuanrumah selepas Universiade Napoli 2019. Malah mereka terpaksa menyimpan dan menyelengara venue dan pelbagai peralatan yang telah siap untuk beroperasi pada 2021. Malangnya wabak pandemik covid yang melanda dunia pada awal 2020 menyebabkan mereka tiada pilihan lain untuk terpaksa menangguhkannya sebanyak dua kali.

Malah jangka hayat Universiade Chengdu juga hampir tergugat atau terbatal jika China gagal menghentikan wabak ini. Pendekatan tegas China menangani wabak covid 19 sejak 2020 hingga 2022 ini akhirnya menyaksikan impian Chengdu menjadi kenyataan.

Namun sepertimana tema temasya ini khususnya Chengdu yang dikaitkan dengan satu daerah yang menjanjikan harapan dan impian untuk menjadi kenyataan ‘Chengdu Makes Dream Come True’.

Sudah pasti  ia bukan sahaja memberi harapan setinggi gunung kepada penduduknya malah juga kepada ribuan atlet universiti dunia yang berhimpun di sini dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini yang mengharapkan dan juga mempercayai bahawa impian mereka juga tidak mustahil boleh menjadi kenyataan di sini.

Harapan dan Impian agar menjadi kenyataan turut di bawa bersama kontinjen Malaysia yang dianggotai 66 atlet dan 30 pegawai menyertai temasya kali ini.

Walaupun mensasarkan tiga pingat tanpa mengira warna, namun siapa tahu impian untuk mencatat sejarah membawa pulang pingat emas pertama Malaysia di Universiade ini boleh menjadi kenyataan di bumi bertuah Chengdu ini. Malaysia hanya menyertai lapan acara sukan iaitu Badminton, Memanah, Menembak, Terjun, Renang, Wushu, Olahraga dan Taekwondo.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: