
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membidas kenyataan pemerhati sukan, Sadek Mustaffa dan beberapa pihak lain mendakwa persatuan itu lambat memberi respon atau membuat tindakan berhubung insiden penyokong Kuala Lumpur City yang telah dipukul pada Final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu lalu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya bukan mengambil sikap untuk berdiam diri berhubung hal ini atau pun lambat untuk membuat sebarang tindakan.
“Untuk makluman, laporan polis telah pun dibuat oleh mangsa pada keesokan harinya selepas insiden berkenaan. Jadi sudah tentu di pihak FAM, kita tidak boleh membuat sebarang tindakan yang boleh mengganggu siasatan polis kerana ia telah menjadi kes polis.
“Walau bagaimanapun, FAM sentiasa bersedia dan terbuka untuk memberi kerjasama kepada pihak polis jika diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Yusoff berkata, FAM selaku badan induk bola sepak negara sememangnya menolak keras segala bentuk salah laku yang berkaitan dengan hal-hal keselamatan, kekerasan atau keganasan dalam bola sepak, tidak kira sama ada ia berlaku di dalam padang atau di luar padang yang membabitkan penyokong atau penonton.
“FAM tetap memandang serius dengan apa yang berlaku ini dan akan segera melakukan tindakan proaktif bersama MFL dalam memastikan kejadian sama tidak berulang pada perlawanan-perlawanan lain yang akan datang,” ujarnya.
Add Comment