
GIOVANNA Koay Yi Shyuan dari SMJK Perempuan China Pulau Pinang merangkul dua gelaran kejuaraan dalam Perseorangan Perempuan, dan Beregu dalam Pusingan Kelayakan 2 Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) 2023 di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang baru-baru ini.
Bagi kategori beregu, Giovanna meraih gelaran bersama gandingannya Lee Joinne yang beraksi cemerlang untuk menewaskan lawan dan menamatkan pertandingan dengan noktah kemenangan.
“Sukar untuk menumpukan perhatian kepada dua kategori kerana saya benar-benar perlu fokus kepada stamina dan pemulihan untuk setiap perlawanan.
“Tetapi nasib baik bagi saya mempunyai pasangan yang baik dalam beregu (Lee Joinne dari SMJK Jit Sin), yang banyak melindungi saya jadi saya tidak terlepas banyak pukulan,” ujarnya.
Turut sama meraih gelaran berganda ialah Chong Lee Qian dari SMJK Sin Min menerusi perseorangan lelaki B-13 dengan menewaskan Darwin Yeong Jun Bin dari SMK St. George Taiping Perak.
Rentak kemenangan terus diraih pemain ini bersama gandingannya Tan Kean Loong dari Kolej Sultan Abdul Hamid untuk memenangi Beregu Lelaki B-13.
Pusingan Kelayakan 3 AJBC seterusnya akan diadakan dari 28-30 Julai di Ipoh, Perak.
Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) kembali tahun ini dengan tambahan Pusingan Kelayakan di Sabah, Sarawak dan Pahang, menjadikan jumlah keseluruhan lokasi kepada 10 tahun ini dan dijangka menarik lebih 2,500 bakat muda badminton, 500 lebih berbanding tahun lalu.
Disokong oleh Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), kejohanan itu akan berlangsung di seluruh negara mulai bulan ini. Pusingan kelayakan tiga hari akan diadakan di seluruh negara di 10 lokasi dari Julai hingga November, dengan Grand Final selama empat hari dijadualkan dari 16-19 November di Stadium Juara, Bukit Kiara di Kuala Lumpur.
Pemenang perseorangan dan beregu AJBC 2023 Grand Final masing-masing akan memperoleh RM1,000 dan RM1,200. Pemenang di semua sepuluh Pusingan Kelayakan akan membawa pulang RM500 dengan juara beregu memperoleh RM600.
Add Comment