SAFUWAN Baharudin sah kembali menyertai Selangor FC apabila diperkenalkan secara rasmi menyertai Gergasi Merah Kuning mengharungi baki saingan Liga Super 2023.
Kelebihan serta karisma yang dimiliki bekas pemain pertahanan kanan Melbourne City ini dilihat mampu menambah kekuatan pasukan Selangor FC dalam beberapa posisi terutamanya di bahagian tengah dan pertahanan.
Tiga musim bersama Selangor FC sebelum ini, Safuwan berjaya beraksi dalam 37 perlawanan sebagai tonggak pasukan selama beliau di kem Gergasi Merah.
Walau bagaimanapun, kecederaan beliau enam bulan terakhir musim lalu memaksa beliau untuk membuat keputusan keluar daripada pasukan demi kebaikan diri dan juga kelab.
Tegas Safuwan, dia gembira menerima tawaran kembali ke Kelab ini dan berharap penyokong akan menerima kepulangannya.
“Saya ada menerima beberapa tawaran dari Liga Thailand tetapi setelah berhubung dengan kedua ibu bapa saya, mereka menyarankan saya untuk terus berada di Liga Malaysia untuk baki enam bulan terakhir musim ini, iaitu bersama Selangor FC,”
“Dalam masa yang sama, antara yang menarik minat saya untuk kesini adalah saya belum pernah bermain di bawah jagaan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.
“Selain itu, hubungan dengan rakan sepasukan Gergasi Merah akan membantu untuk saya menjalankan tanggungjawab di sini terutamanya dari segi komunikasi kerana separuh daripada pasukan merupakan rakan sepasukan sebelum ini.
“Saya juga berharap keserasian bersama pemain-pemain import dan beberapa pemain lokal baharu pasukan akan terjalin,” katanya.
Add Comment