Komentar Rencana

Minda mencorak kejayaan dalam sukan


Kejayaan dicapai JDT dalam saingan Liga Super bagi tempoh hampir 10 tahun bukan hadir dengan mudah tanpa sebarang usaha. (Foto : Utusan Malaysia)

PENGURUSAN dan kawalan minda adalah amat penting dalam menentukan hasil yang ingin dicapai. Dalam apa jua bidang sekalipun, minda menentukan pencapaian matlamat. Pengaruh minda juga memainkan penting dalam bidang sukan.

Kejayaan yang dicapai oleh atlet negara banyak bergantung kepada kecekapan dan keberkesanan dalam kawalan minda. Apabila seseorang menemui kegagalan dalam sebarang acara sukan, pelbagai perasaan negatif timbul dalam minda dan individu itu akan cepat berasa stres.

Stres sebegini seharusnya dikekang dan diselesaikan secepat mungkin. Mengambil jalan singkat seperti berputus asa akan membawa diri terus terjerumus ke lembah kegagalan. Untuk keluar dari kepompong kegagalan, ia menuntut perubahan diri atlet itu sendiri.

Jika berpegang kepada bidalan genggam bara api biar sampai jadi arang, kesemua impian mungkin boleh dicapai dengan syarat ia diikuti dengan minda positif, tekad dan daya. Hampir tiada satu perkara dalam hidup ini yang mustahil untuk dicapai, namun ia menuntut usaha berterusan tanpa rasa putus asa.

Minda positif perlu dijadikan kunci utama bagi mengorak langkah mencapai kejayaan terutamanya dalam sukan. Tanpa minda positif, individu akan sentiasa berdepan dengan masalah yang menyekat kecemerlangan diri.

BUKAN CARA YANG MUDAH

Kejayaan dalam bidang sukan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa boleh diumpamakan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Peribahasa ini menunjukkan usaha mendapatkan sagu bukanlah suatu yang mudah. Pencari sagu harus bersedia dari segi mental dan fizikal.

Selain itu peralatan seperti parang, kapak dan pisau semestinya tajam. Gigitan haiwan berbisa seperti lipan dan lain-lain kemungkinan juga harus difikirkan.

Kiasan kisah ruyung serta cabaran yang terpaksa diredah demi mendapatkan sagu ini amat sesuai dijadikan perlambangan tentang kesukaran para atlet mencapai kejayaan.

Masyarakat mungkin beranggapan bahawa mudahnya seseorang itu untuk berjaya, tetapi pernahkah kita membayangkan kesukaran dan cabaran yang terpaksa mereka lalui sebelum mencapai kejayaan seperti si penebang pokok rumbia?

Bagi mencapai kejayaan, seseorang perlu berusaha dan berkorban kerana ia bukan datang bergolek. Jika anda seorang pelajar, anda harus belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Jika anda seorang atlet, anda perlu berlatih bermati-matian untuk menjadi juara.

KEJAYAAN HADIR DENGAN USAHA

Jika anda seorang pekerja, anda harus berusaha dengan cemerlang untuk mendapatkan kedudukan dan pendapatan yang lebih baik. Ringkasnya, kejayaan dalam apa jua bidang sekalipun tidak akan mampu dicapai tanpa usaha yang jitu.

Kajian psikologi dan kelakuan organisasi menunjukkan kejayaan yang dicapai atas usaha sendiri akan menambahbaik kematangan diri dan menjadi pencetus kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Pepatah lama Melayu tidak ketinggalan dalam menggambarkan pengaruh minda dalam mencorak kejayaan. Hal ini ternukil di dalam ‘patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku’.

Semangat juang para atlet yang digambarkan dalam pepatah ini perlu ada dalam diri setiap individu untuk terus berusaha dan tidak menyerah kalah atau menyalahkan persekitaran. Jadilah seseorang yang boleh mengawal persekitaran dan menentukan kejayaan yang akan dicapai.

Kepentingan minda dan tahap usaha seseorang dalam mencapai kejayaan boleh diterokai melalui pengalaman atlet yang menjulang nama negara.

Kejayaan atlet negara dalam sebarang kejohanan sukan menunjukkan bagaimana minda, tekad dan daya mampu memberi inspirasi kepada sesiapa jua dalam mencipta masa hadapan yang lebih cemerlang.

Oleh : Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Helmi Ali
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi)
Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB)
Universiti Kebangsaan Malaysia

                      

 

 

 

 

Oleh : Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul
Dekan  Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB)
Universiti Kebangsaan Malaysia


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading