Bola Sepak Harimau Malaya Terkini

Sukan Sea 2023 : Diundi dalam kumpulan maut, Skuad B22 tetap positif


Skuad Harimau Malaya B-22 kendalian E. Elavarasan meraikan kejayaan menjuarai kejohanan Merlion Cup 2023 edisi kesembilan selepas menewaskan Hong Kong B-22.

SKUAD bola sepak bawah 22 (B-22) tahun negara berdepan cabaran getir seawal peringkat kumpulan pada Sukan SEA Kemboja, bulan depan selepas diundi dalam kumpulan maut bersama juara bertahan, Vietnam dan pemenang pingat emas terbanyak dalam acara bola sepak Sukan SEA, Thailand.

Berdasarkan keputusan undian yang dijalankan, saingan Kumpulan B itu turut akan disertai Singapura dan Laos.

Melihat kepada keputusan undian itu, anak buah E Elavarasan perlu menggunakan tempoh yang ada ini untuk melakukan persiapan rapi dan tidak mustahil mereka mampu menjadi antara dua pasukan dari Kumpulan B yang akan ke separuh akhir.

Bagi Elavarasan, keputusan undian tersebut adalah sesuatu yang menarik dan mencabar dalam masa yang sama selepas diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan pasukan pilihan pertandingan seperti Thailand.

“Di sebalik pasukan negara harus realistik dengan keputusan undian tersebut, saya kekal optimis bahawa skuad Harimau Malaya B-22 memiliki potensi sama seperti pasukan-pasukan lain di mana kami juga memiliki keyakinan untuk turun dalam kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja nanti.

“Fokus dan visi kami tidak akan berubah. Sudah pasti kami akan bersiap sedia untuk berdepan kumpulan sukar ini dan tugas saya sekarang adalah memastikan pasukan ini dalam keadaan bersedia,” katanya.

Saingan Kumpulan A pula tampak lebih mudah apabila dibarisi tuan rumah Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor Leste.

Acara bola sepak lelaki pada temasya di Phnom Penh itu akan membuka tirai lebih awal iaitu dari 29 April hingga 16 Mei depan.

Sementara itu, skuad bola sepak wanita pula diundi dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Filipina, Myanmar dan Indonesia dengan acara berkenaan akan bermula dari 2 Mei hingga 15 Mei depan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: