
LIGA M3 akan dikenali sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank (MBSB Bank Championship) selepas pegendali liga Amateur Football League (AFL) memeterai perjanjian dengan syarikat perbankan Islam, MBSB Bank Berhad.
Menerusi jalinan kerjasama ini, Liga M3 akan dijenamakan sebagai dijenamakan sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank (MBSB Bank Championship) atau MBSB Bank Championship bermula minggu keempat Mei nanti.
Majlis menandatangani perjanjian diadakan di Ibu Pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS) yang disempurnakan Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib.
MBSB Bank selaku penaja utama dan rakan bank rasmi AFL juga menjadi penaja bersama untuk Liga M4 dan Liga M5 yang dikendalikan oleh AFL.
Datuk Wira Mohd Yusoff berkata, kerjasama ini membuktikan liga tempatan bertaraf semi-professional dan amatur mempunyai nilai komersial tersendiri.
“Kehadiran MBSB Bank Berhad yang sudah bertapak lama bertapak di Malaysia melambangkan penerimaan syarikat swasta terhadap sukan bola sepak di peringkat amatur yang berteraskan komuniti setempat ini.
“Bagi pihak AFL, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan MBSB Bank Berhad terhadap AFL untuk menjalin kerjasama demi faedah bersama.
“AFL sedia maklum imej MBSB kini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia dan besarlah harapan kami kerjasama ini dianggap langkah pertama dalam menyumbang kepada pembangunan sukan tanah air.
“Kerjasama ini diharap dapat membuka mata lebih banyak syarikat luar mahu pun tempatan agar memberi perhatian kepada sukan bola sepakdi peringkat amatur yang memiliki potensi cukup besar untuk diterokai dari sudut komersial,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib pula berkata, kami di MBSB Bank sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan AFL kerana kami yakin bahawa sukan bola sepak sangat dekat di hati rakyat. Kami merasa bangga dalam penglibatan ini demi menyokong pembangunan bola sepak negara.
Tambah Nor Azam, menerusi kolaborasi ini, orang ramai berpeluang mengenali MBSB Bank dengan lebih dekat dan memanfaatkan perkhidmatan yang kami tawarkan bagi membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih berhemah.
Ujarnya lagi, kami mengharapkan melalui keterlihatan MBSB Bank, rakyat akan lebih maklum mengenai penawaran perbankan komprehensif.
“Sebagai contoh, Akaun Simpanan-i dan Semasa-i boleh dimanfaatkan pelanggan melalui kadar pulangan kewangan yang menarik. Manakala, Pembiayaan Peribadi-i disediakan bagi membantu rakyat menangani
keperluan kewangan dan Pembiayaan Hartanah-i pula ialah untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
“Kami mengharapkan penglibatan MBSB Bank akan menyemarakkan lagi aksi di padang bola sepak dan sokongan kami dapat merealisasikan hasrat pengurusan AFL untuk melihat liga ini muncul sebagai salah satu liga terunggul di negara ini.” katanya.

Mengenai pemilihan Stadium Negeri Sarawak sebagai lokasi majlis menandatangani perjanjian penajaan ini, Datuk Nor Azam berkata,
“Sarawak merupakan antara negeri yang memberi penekanan serius terhadap pembangunan bola sepak di peringkat amatur dan akar umbi melalui pelbagai kejohanan peringkat daerah yang juga di kawal selia
oleh AFL dan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) seperti Liga M5.”
“Kerjasama dan keterbukaan pihak FAS untuk menjadi tuan rumah majlis ini juga membuktikan komitmen mereka untuk bersama-sama AFL dan MBSB Bank dalam meningkatkan mutu pertandingan
peringkat semi-profesional di negara ini,” akhiri Datuk Nor Azam.
Saingan Liga M3 2023 telah pun memasuki Minggu Ke-3 Perlawanan, dengan Kuala Lumpur Rovers FC mendahului carta liga diikuti dengan SAINS FC dan Bukit Tambun FC.
Liga M3 akan berubah wajah selepas berakhirnya perlawanan hujung minggu ini apabila dijenamakan sebagai MBSB Bank Championship 2023 yang pastinya menjanjikan saingan yang lebih sengit di persada
sukan bola sepak tanah air.
Add Comment