Bola Sepak

Zulkarnain digantung serta-merta


Zulkarnain semasa mengadili perlawanan Liga Super 2023 Sabah menentang Penang.

Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

Keputusan itu susulan FAM telah membuat keputusan dan tindakan berhubung beberapa insiden membabitkan beliau yang berlaku pada perlawanan Liga Super 2023, Sabah FC lwn Penang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat, 17 Mac 2023.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, Zulkarnain telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9.

Menurutnya, Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

“Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM telah bersidang semalam bagi meneliti laporan daripada Penilai Pengadil perlawanan tersebut serta klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan.

Perlawanan kelima Liga Super 2023 itu berkesudahan Sabah mengatasi Penang 5-2.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: