SETIAUSAHA Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad telah ‘dinaikkan pangkat’ sebagai peneraju badan induk berkenaan bagi penggal 2023-2027.
Beliau menggantikan penyandangnya, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam selepas menang tanpa bertanding pada Kongres MAKAF ke-37, di sini, hari ini.
Mohd Ali yang memimpin persekutuan berkenaan selama 13 tahun, membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya selepas dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF) pada Oktober lalu.
Mengulas mengenai kemenangannya, Nur Azmi berkata ia adalah tanggungjawab yang besar, terutama untuk meneruskan legasi Mohd Ali yang memimpin MAKAF dengan baik dan mencapai pelbagai kejayaan di pelbagai peringkat antarabangsa selama ini.
“Terima kasih kepada Tun yang telah memimpin MAKAF dengan begitu hebat dan mempunyai rekod yang bagus. Saya berharap semua ahli gabungan akan bekerja rapat dan membantu saya memimpin MAKAF ke arah kecemerlangan.
“Tumpuan utama saya pada masa ini adalah untuk memastikan kita menang emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September dan muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kemboja pada ,” katanya.
Beliau berkata sejurus ketua jurulatih baharu dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy melapor diri pada hujung bulan ini, MAKAF akan memulakan program pembangunan bagi memastikan kejayaan cemerlang pada Sukan SEA 2027, yang bakal dianjurkan oleh Malaysia.
Nur Azmi berkata, MAKAF juga akan menganjurkan Kejohanan Persekutuan Karate Asia (AKF) yang membabitkan 1,250 peserta daripada 45 negara dan pemilihan bagi pucuk kepimpinan badan induk Asia itu di Melaka pada Julai ini.
Sementara itu, Mohd Ali dalam ucapannya, berharap Nur Azmi dapat memikul tanggungjawab berkenaan dengan baik.
“MAKAF telah mencapai pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, dari peringkat Asia Tenggara ke Dunia, hanya pingat Olimpik sahaja kita belum capai. Tugas berat menanti Nur Azmi, harap barisan kepimpinan baharu ini dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya. -Bernama-
Add Comment